KUCHING: Industri tekstil dan fesyen berteraskan warisan kini perlu dipacu sebagai sektor ekonomi bernilai tinggi, bukan lagi dilihat sekadar industri kecil desa.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, industri tekstil hari ini bukan hanya tentang keindahan hasil kraf.
Sebaliknya, turut membawa nilai kemanusiaan, kelestarian alam sekitar dan identiti budaya yang perlu dipelihara.
“Kita mahu generasi akan datang mengetahui bahawa pewarna pada kain mereka datang daripada akar hutan Borneo, bukan semata-mata bahan kimia, dan hasil tenunan itu datang daripada tangan yang berkongsi identiti serta maruah,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Kementeriannya, Datuk Snowdan Lawan pada Majlis Perasmian Seminar Festival Tekstil Antarabangsa Borneo 2025 (BITF 2025), di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan penglibatan aktif semua pihak termasuk sektor swasta, komuniti tempatan dan badan bukan kerajaan bagi memperkasa industri tekstil berteras warisan budaya.

“Kerjasama strategik antara agensi kerajaan, sektor swasta dan komuniti penggiat tekstil amat penting.
“Ia bagi memastikan perlindungan hak intelek, inovasi produk serta pulangan ekonomi yang adil kepada penenun di kawasan luar bandar,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan kerjasama antara industri pelancongan dan tekstil.
“Kerjasama ini penting khususnya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, bagi memastikan kedua-dua sektor berkembang secara seiring dan mampan,” jelasnya.
Festival BITF 2025 menghimpunkan seramai 250 peserta terdiri daripada NGO, agensi kerajaan, ahli akademik, penyelidik, penggiat seni, pereka fesyen dan usahawan dari Malaysia, Indonesia dan Brunei.
Turut hadir Seri Paduka Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah; anakanda Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Athiyatullah dan lain-lain.



