KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pelaburan konsortium diterajui SoftBank dalam platform kecerdasan buatan (AI) di Malaysia sebagai bukti keyakinan global terhadap potensi negara.
Beliau menegaskan langkah itu menandakan pencapaian penting dalam transformasi digital dan menyokong hasrat menjadikan Malaysia Negara AI menjelang 2030 menurut Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026-2030.
Susulan pengumuman konsortium yang turut menyertakan Grab Holdings Ltd (Grab) dan Petroleum Sarawak Bhd (Petros), Anwar mengalu-alukan pelaburan dalam Platform Infrastruktur AI di Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif SoftBank, Masayoshi Son, dilaporkan memilih Kuching, Sarawak, dan Semenanjung Malaysia sebagai lokasi pelaburan infrastruktur AI bernilai US$50 bilion (US$1 = RM4.06) seperti dilapor Bernama.
Anwar menjangkakan pelaburan itu mewujudkan pekerjaan mahir dan peluang kepada perniagaan tempatan, manakala kerajaan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa negeri untuk memudahkan pelaksanaan projek yang menepati keperluan Persekutuan dan negeri.






