KUCHING: Ketua Penerangan PBB Datuk Idris Buang tidak gembira dengan kenyataan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof yang mendakwa cadangan memperuntukkan 1/3 kerusi Dewan Rakyat kepada Sabah dan Sarawak sukar dilaksanakan.

Beliau berkata, Ariff harus menghormati cadangan itu selaras dengan semangat MA63, Suruhanjaya Cobbold dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC). “Jika ada kehendak untuk menghormati, tiada apa-apa yang mustahil. Tidak kira betapa sukar, ia mungkin dapat dilaksanakan.

“Kalau begitulah sikap mereka dalam melihat undang-undang MA63, Suruhanjaya Cobbold, Laporan IGC, maka kedudukan Sarawak dan Sabah yang sah tidak akan dapat dipertahankan secara politik,” katanya yang dihubungi semalam.

Idris juga berkata, persoalannya selara ialah sama ada mereka mempunyai kehendak politik untuk melakukannya atau tidak.

Beliau menambah, lebih-lebih lagi mereka harus menghormati MA63, Suruhanjaya Cobbold dan Laporan IGC yang menegaskan Sarawak dan Sabah sebagai pihak yang sama dalam persekutuan. “Bahagian kerusi 30 peratus adalah penting untuk mencerminkannya,” katanya.

Semalam, Ariff dilaporkan berkata, cadangan supaya diperuntukkan 1/3 kerusi Dewan Rakyat kepada Sabah dan Sarawak seperti didesak pemimpin GPS sukar untuk dilaksanakan. “Perlu ada pindaan perlembagaan, SPR juga perlu dilibatkan dan perlu diadakan persempadanan semula. “Perkara ini sangat susah untuk diputuskan,” katanya.

Menurut Ariff, Perlembagaan Persekutuan sendiri menyebut secara jelas berkaitan perkara ini. Baginya, saiz populasi penduduk di Sabah dan Sarawak juga perlu diberi perhatian.

Suara Sarawak