KUCHING: Atlet Special Olympics Sarawak mencipta kejayaan membanggakan apabila membawa pulang tujuh pingat termasuk tiga emas, tiga perak dan satu gangsa pada Pertandingan Boling Serantau Special Olympics Asia Timur 2026.
Kejayaan itu dicapai lima atlet Sarawak yang mewakili Malaysia pada pertandingan berlangsung di Top Bowl Tenpin Bowling, Kai Tak Sports Park, Hong Kong dari 4 hingga 7 September lalu.
Tiga pingat emas disumbangkan oleh Vanessa Nisha Siok menerusi acara perseorangan wanita, Nelson Donny Sunny dalam perseorangan lelaki serta gandingan Nelson Donny Sunny dan Mohamad Najib Salmi dalam acara beregu lelaki.

Siti Hamidah Sabri pula meraih perak dalam perseorangan wanita, manakala Mohamad Najib Salmi memenangi perak perseorangan lelaki.
Dua lagi pingat perak disumbangkan oleh Mohamad Rizuan Madzi dan Siti Hamidah Sabri menerusi acara rakan bersatu, manakala pingat gangsa diraih dalam acara berpasukan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah menyifatkan pencapaian berkenaan sebagai bukti individu kurang upaya intelek mampu mengharumkan nama negara sekiranya diberikan peluang, sokongan dan ruang yang sewajarnya.
“Saya sangat bangga dengan atlet kita. Kejayaan mereka menunjukkan bahawa dengan keazaman, dedikasi dan peluang yang betul, individu kurang upaya intelek mampu mencapai kecemerlangan dan menyerlah di pentas antarabangsa,” katanya.
Fatimah turut merakamkan penghargaan kepada jurulatih, keluarga dan penyokong yang terus memberikan komitmen dalam memperkukuh sukan inklusif serta membuka lebih banyak peluang kepada atlet kurang upaya intelek untuk bertanding di peringkat antarabangsa.
Kejayaan kontinjen Sarawak itu turut menyumbang kepada pencapaian keseluruhan Malaysia yang membawa pulang lima emas, enam perak dan dua gangsa dalam pertandingan berkenaan.
Selain Sarawak, atlet Selangor menyumbangkan baki dua emas, tiga perak dan satu gangsa kepada pungutan keseluruhan kontinjen Malaysia.
Kontinjen Sarawak diketuai Datin Dayang Mariani Abang Zain selaku Ketua Delegasi Malaysia dan dibarisi lima atlet iaitu Siti Hamidah Sabri, Vanessa Nisha Siok, Nelson Donny Sunny, Mohamad Najib Salmi serta Mohamad Rizuan Madzi sebagai pemain rakan bersatu, dengan Shirley Chen sebagai jurulatih.
Pertandingan itu dianjurkan Special Olympics Hong Kong dengan penyertaan atlet dari Hong Kong, China, Macau, Taiwan, Singapura, India, Jerman dan Malaysia.






