KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara Brendon Carolan percaya Malaysia berada pada tahap terbaik untuk mencabar Jerman dalam aksi pembukaan Piala Dunia Hoki 2026 di Arena Hoki Belfius, Wavre, Belgium hari ini.
Carolan berkata skuad Speedy Tigers menunjukkan perkembangan memberangsangkan sejak dua bulan lalu selepas menjalani siri perlawanan di Afrika Selatan dan kem latihan di Gent, Belgium.
Beliau mengakui perbezaan ranking dunia antara Malaysia dan Jerman, namun yakin anak buahnya mampu memberikan saingan kompetitif serta mahu mereka turun dengan penuh keyakinan dan rasa bangga.
Malaysia yang berada di ranking ke-14 dunia diundi dalam Kumpulan B bersama Belgium, Jerman dan Perancis, dengan perlawanan seterusnya menentang Perancis pada Isnin dan Belgium pada 20 Ogos.
Piala Dunia Hoki 2026 berlangsung dari 15 hingga 30 Ogos di Wavre dan Amstelveen, Belanda, dengan Belgium dan Belanda menjadi tuan rumah bersama seperti dilapor Bernama.



