INSTITUT Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS) dengan kerjasama Majlis Islam Sarawak berjaya menganjurkan Sijil Profesionalisme Imam Sarawak (SPIS) 2025, Modul 1 (Zon Selatan) selama dua hari bertempat di Masjid Darul Ehsan, Kampung Haji Baki, Kuching.
Seramai 28 peserta menghadiri kursus ini yang terdiri daripada imam satu dan dua lantikan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) dari sekitar Bahagian Kuching, Serian dan Samarahan.
Objektif utama kursus ini adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran peserta berkaitan tugas serta tanggungjawab seorang imam dalam aspek pengurusan masjid dan kemasyarakatan.
Selain itu, kursus ini turut bertujuan untuk memperkukuh sahsiah diri para imam sebagai contoh teladan, serta melahirkan imam yang profesional dalam melaksanakan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan.
Semoga kursus ini berjaya melahirkan para imam yang berkemahiran tinggi dalam semua aspek pengurusan agama, khususnya di negeri Sarawak.



