ARTIKEL

SIDANG MEDIA... Datuk Fazzrudin (kanan) ketika bercakap kepada media.

Stadium Taha Ariffin terima kelulusan bersyarat AFC

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Stadium Taha Ariffin terus dipersiapkan bagi membolehkan perlawanan di peringkat Asia dan ASEAN dibawa ke gelanggang keramat itu.

Pengerusi Eksekutif Kuching City FC, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman memberitahu, pada 23 September lepas, pihak Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bersama Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah melakukan pemeriksaan di Stadium Taha Ariffin.

Menurut Fazzrudin, hasil pemeriksaan mendapati stadium tersebut telah menerima kelulusan bersyarat, dengan beberapa perkara penambahbaikan masih dalam proses untuk diselesaikan.

“Kita kini sedang memastikan semua kerja berkenaan disiapkan sepenuhnya sebelum laporan lengkap dikemukakan kepada pihak AFC,” katanya.

“Selepas pemasangan kerusi penonton, kapasiti Stadium Taha Ariffin kini adalah 17,584 tempat duduk.

“Ini merupakan satu perkembangan penting dalam usaha menyediakan kemudahan stadium yang lebih selesa, selamat dan memenuhi keperluan penganjuran perlawanan di peringkat lebih tinggi,” ujar beliau pada sidang media di Bilik Mesyuarat Stadium Taha Ariffin sebentar tadi.

Dalam masa yang sama, katanya, beberapa penyesuaian akan dilaksanakan dari segi penjualan tiket, kemasukan penonton, pemeriksaan di pintu masuk serta aliran pergerakan penyokong.

“Pemeriksaan mungkin lebih ketat bagi memastikan semua peraturan AFC dipatuhi,” tambah beliau.

Fazzrudin menegaskan, perlawanan persahabatan menentang Sabah FC malam esok (Khamis) akan turut dijadikan sebagai ujian bagi sistem dan prosedur baharu ini sebelum pihaknya menghadapi Tampines Rovers FC dalam saingan ACC Shopee Cup pada 7 Oktober dan menentang Kitchee SC pada 15 Oktober dalam saingan ACL Two.

“Saya menyeru kepada semua penyokong Kuching City FC untuk hadir lebih awal, mematuhi peraturan, mengikuti aliran pergerakan yang ditetapkan serta memberikan kerjasama kepada petugas stadium dan pihak keselamatan.

“Kita mahu bukan sahaja pasukan bersedia untuk beraksi di pentas Asia dan ASEAN, tetapi seluruh stadium dan para penyokong juga bersedia,” katanya.

Beliau berharap mahu menjadikan Stadium Taha Ariffin sebagai rumah yang membanggakan untuk bola sepak Sarawak.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU