KUALA LUMPUR: Naib Ketua Wanita Parti Pesaka Bersatu Sarawak (PBB) Datuk Seri Nancy Shukri mencadangkan agar ketua keluarga membuat potongan gaji untuk membayar emolumen bagi isteri yang mengurus rumahtangga.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata cadangan ini adalah salah satu cara mengiktiraf pekerjaan tidak berbayar sebagai pekerjaan, antara lain bertujuan bagi memperkasakan ekonomi wanita.
“Ramai yang bekerja di rumah itu tidak dibayar, mereka menjaga keluarga tapi ada juga suami yang menjadi pengurus di rumah, dan juga ibu bapa mengurus di rumah, (mereka) tak ada gaji.
“Kalau dapat kita iktirafkan pekerjaan tidak berbayar (ini) dan mintalah anak atau suami, kita minta izin supaya mereka boleh potong gaji,” katanya.
Selain itu, beliau berkata peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan gaji setimpal bagi golongan wanita perlu diwujudkan termasuk pelaksanaan dasar 30 peratus penglibatan wanita sebagai pembuat keputusan.
“Marilah kita bersama-sama menjadikan dasar 30 peratus wanita ini satu kenyataan, pastikan ia terlaksana.
“Jangan cakap sahaja 30 peratus wanita dalam pembuat keputusan. Memang ia dasar yang lama tetapi keberkesanannya perlu kita pertingkatkan,” katanya.
Nancy turut mengingatkan pemimpin dan parti-parti yang mendukung Kerajaan Perpaduan untuk menjalankan tugas dengan baik, dan turun padang untuk melihat keperluan setiap negeri sekali gus memahami denyut nadi rakyat.
Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang diadakan buat julung kali membuka tirainya dengan Konvensyen Nasional Wanita Kerajaan Perpaduan dan Konvensyen Nasional Pemuda Kerajaan Perpaduan, yang diadakan secara serentak pagi semalam. – BERNAMA



