ARTIKEL

Suara derhaka anak muda

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Buku Muda dan Derhaka hasil penulisan Rien Sd membincangkan kegusaran serta respons anak muda terhadap pelbagai perkara yang melibatkan kekacauan di sekeliling mereka.

Buku yang mengandungi 24 bab ini merupakan kumpulan artikel dan esei daripada penulis. Beliau juga mengupas isu politik, krisis keagamaan serta kerosakan atau kemusnahan dalam kalangan gerakan mahasiswa dengan gaya penulisan yang tersirat.

Bukan itu sahaja, buku ini juga merupakan suara jujur anak muda dalam mengkritik isu semasa yang berlaku di Malaysia, terutamanya gejala rasuah yang berleluasa.

Selain itu, buku yang mengandungi 122 halaman ini bertujuan menyedarkan anak muda tentang peranan mereka dalam menyuarakan kritikan sosial dan sanggahan yang ada, walaupun terpaksa dianggap derhaka oleh masyarakat sekeliling.

MEMBUKU, MENULIS DAN PENCERAHAN

Menjadi kebimbangan sekiranya suatu hari nanti buku lebih diharamkan berbanding rasuah kerana kita melihat pada masa ini, berapa ramai, terutamanya anak muda, yang masih menjadikan buku sebagai teman bacaan mereka? Adakah golongan ini akan terus bergantung pada wacana lapuk, usang dan ‘second-hand’, kemudian mengulang perkara yang sama?

Golongan muda perlu bergerak meninggalkan paradigma lama dan beralih ke arah perkara yang lebih serius kerana buku merupakan makanan bagi mereka yang ingin tercerahkan serta alat untuk terus bebas.

Walaupun kita mempunyai sekolah dan universiti, masih terdapat segelintir masyarakat yang miskin dan tandus akal. Mengapakah buku masih belum dimasyarakatkan?

Dalam tradisi Islam juga, umatnya digalakkan untuk membaca. Jika terserempak dengan mereka yang tidak membaca, hal ini bukan kerana Islam tidak menampilkan peranan ilmu pengetahuan, tetapi kerana umatnya terlalu sambil lewa dalam menghayati ajaran tersebut.

Amalan membaca sememangnya perlu dijadikan amalan walaupun sekadar membaca maklumat daripada jurnal, makalah, blog dan sebagainya kerana amalan ini mengajak masyarakat mencintai pengetahuan serta membenci kebebalan.

Apabila kebebalan membiak dan beranak-pinak, hal ini akan melahirkan generasi yang bakal menggelapkan tamadun dan peradaban. Akhirnya, buku hanya menjadi lambakan kertas yang disentuh menjelang peperiksaan.

Namun, membaca sahaja tanpa kejelasan peranan dalam masyarakat merupakan satu ketumpulan. Amalan ini perlu dibawa bersama dalam usaha mengubah masyarakat pasif kepada masyarakat progresif yang melibatkan pelbagai aspek, iaitu berfikir, bermasyarakat, berpolitik, berekonomi, beragama dan sebagainya.

Jika kita melihatnya, membaca, membukukan dan menulis merupakan alat utama menuju pencerahan, malah amalan ini tidak akan pernah luntur.

Kita akan mula bersikap serius, meninggalkan orientasi pengetahuan yang disilibuskan sehingga menjadikan kita diam, patuh dan sekadar menjadi graduan yang kosong serta angkuh. Namun, apabila melibatkan keharmonian dunia, kita sebenarnya merupakan insan yang gagal.

TIADA MERDEKA HARI INI

Sekiranya masih ingat, ketika Tunku Abdul Rahman melafazkan pemasyhuran kemerdekaan yang memansuhkan semua kuasa British dan melahirkan satu perlembagaan baharu bagi Malaya, laungan merdeka bergema.

Suara mereka terangkat ke langit, bunyinya jujur dan syahdu. Teriakan mereka adalah untuk menebus darah pejuang terdahulu yang bertarung demi sebuah kemerdekaan, kebebasan dan keluhuran tanah tumpah darah kita.

Namun, kita perlu menyoal semula atau menyiasat makna perkataan ‘merdeka’ yang dijerit di kampus, parlimen dan jalan raya oleh mahasiswa, menteri serta rakyat Malaysia. Adakah sepanjang tempoh kemerdekaan ini tiada lagi darah ditumpahkan? Adakah rakyat Malaysia masih merempat di tanah sendiri, digusur, disepak, diusir dan dimarah-marah?

Ia merupakan antara persoalan yang masih dipermukaan sahaja. Masih banyak perkara yang perlu dipersoalkan kerana negara merdeka tidak perlu takut terhadap pertikaian. Menuju kemerdekaan selama lebih 60 tahun, tempoh ini bukanlah suatu usia yang pendek. Maka, negara merdeka seharusnya sarat dengan keputusan yang matang dan padu.

Adakah anak muda pada hari ini sensitif terhadap makna perkataan merdeka? Adakah mereka mengambil berat tentang kemerdekaan? Adakah wujud pemuda yang insaf dan radikal pada hari ini, yang sentiasa berbeza pendapat dengan pemimpin mereka?

Banyak persoalan yang wujud dalam fikiran apabila mengenangkan kemerdekaan, sekali gus menyedarkan anak muda tentang peranan mereka dalam membentuk masyarakat yang peka serta prihatin terhadap erti merdeka.

Dengan adanya persoalan ini, hal ini dapat menggalakkan minda untuk berfikir tentang isu yang timbul dan membantu masyarakat bergerak ke arah kemerdekaan yang sebenar.

Oleh itu, anak muda perlu lebih kerap membaca bagi mengelakkan masyarakat kita kelihatan bebal walaupun sudah mencapai kemerdekaan.

KAUM MUDA, MENDERHAKALAH!

Memetik kata Kassim Ahmad, “Kian lama kita mati dalam setia, kali ini kita hidup dalam derhaka.” Dalam bab ini, penulis menceritakan tentang masyarakat Islam yang tidak mempunyai keberanian untuk membina semula pemikiran mereka.

Hal ini menyebabkan pemikiran mereka mati sebelum mereka mati secara fizikal dan hanya menerima kewibawaan autoriti ilmu untuk bersidang serta memfatwakan pelbagai perkara.

Di Malaysia, hanya mereka yang bertahan dan menentang akan terus hidup pemikirannya. Ketika Islam di negara ini dilihat semakin jauh menyimpang, maka hanya satu kata, iaitu ‘menderhakalah’, untuk memastikan kita sentiasa berada di jalan yang benar.

Tajuk: Muda Dan Derhaka
Penulis: Rien Sd
Penerbit: Strategic Information
And Research Development
Centre
Jumlah Halaman: 122
Pengulas: Nur Farihan Razali

BERITA LAIN

Berdamai dengan luka kehidupan

Tajuk: Catatan Hidup Seorang Perempuan yang Hampir Berputus Asa Penulis: Arlina Arshad Penerbit: IMAN Publication Jumlah halaman: 178 muka surat Catatan Hidup Seorang Perempuan yang

Bukan sekadar kisah cinta

Judul buku: Kita Cuma Kawan, Kan? Penulis: Auni Zainal Tahun terbit: 2024 Jumlah muka surat: 544 Harga: Rm34.00 Pengulas: Prisca Robin  Setebal 544 muka surat,

BERITA TERBARU

Urus tanah gambut secara menyeluruh

KUCHING: Sarawak perlu memperkukuh pengurusan tanah gambut secara menyeluruh bagi mencegah kebakaran dan mengurangkan risiko jerebu, terutama menerusi strategi berasaskan sains dan perancangan jangka panjang.