ARTIKEL

Gambar Hiasan

Subsidi diesel lebih bersasar

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Pelaksanaan BUDI Diesel yang menawarkan harga diesel bersubsidi pada kadar RM2.10 seliter, berbanding harga pasaran RM3.97 seliter bagi tempoh awal pelaksanaan, merupakan langkah yang mampu memberikan impak positif kepada ekonomi negara, khususnya dalam mengurangkan tekanan kos sara hidup dan kos operasi pengguna yang layak.

Pelaksanaan itu dijangka memberikan manfaat kepada kira-kira 700,000 pemilik kenderaan diesel persendirian, merangkumi sekitar 400,000 pemilik di Semenanjung Malaysia serta 300,000 lagi di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Langkah tersebut menunjukkan komitmen kerajaan bagi memastikan subsidi diesel benar-benar sampai kepada kumpulan yang memerlukan.

Dari perspektif ekonomi, antara sektor yang dijangka menerima manfaat terbesar ialah logistik, pengangkutan, pertanian, perikanan dan perusahaan kecil. Diesel merupakan antara komponen utama kos operasi sektor-sektor tersebut.

Apabila kos bahan api berkurangan, tekanan terhadap kos pengeluaran dan kos pengangkutan juga dapat dikurangkan.

Walaupun kesannya terhadap harga barangan mungkin tidak berlaku serta-merta kerana masih dipengaruhi faktor lain seperti kos import, kadar pertukaran mata wang dan permintaan pasaran, langkah itu sekurang-kurangnya membantu menstabilkan rantaian bekalan serta mengurangkan tekanan inflasi yang berpunca daripada peningkatan kos.

Selain itu, kira-kira 70,000 kenderaan komersial dan pengangkutan barangan di Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan turut layak menikmati diesel bersubsidi melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), sekali gus membantu mengurangkan kos logistik di wilayah tersebut.

Dari sudut fiskal, pelaksanaan itu mencerminkan pendekatan subsidi bersasar yang lebih cekap berbanding subsidi menyeluruh.

Kerajaan tidak lagi menanggung subsidi untuk semua pengguna diesel, sebaliknya hanya kepada individu dan sektor yang memenuhi syarat kelayakan.

Pendekatan tersebut membantu mengurangkan ketirisan subsidi, meningkatkan kecekapan perbelanjaan kerajaan serta membolehkan sumber kewangan negara disalurkan kepada sektor yang memberikan pulangan sosial dan ekonomi lebih besar, seperti pendidikan, kesihatan, pembangunan infrastruktur dan program perlindungan sosial.

Dalam keadaan ekonomi global yang masih tidak menentu, pengurusan fiskal yang berhemat amat penting bagi memastikan kedudukan kewangan negara kekal mampan tanpa menjejaskan kebajikan rakyat.

Langkah kerajaan memperkenalkan sistem pengesahan menggunakan MyKad serta mekanisme pemantauan yang lebih sistematik turut meningkatkan ketelusan dan memastikan subsidi dinikmati oleh golongan yang benar-benar layak.

Bagaimanapun, masih terdapat ruang penambahbaikan yang boleh dipertimbangkan, khususnya bagi Sabah dan Sarawak.

Faktor geografi di kedua-dua negeri itu sangat berbeza berbanding Semenanjung Malaysia. Jarak perjalanan antara daerah lebih jauh, manakala banyak kawasan mempunyai bentuk muka bumi berbukit serta laluan jalan raya yang mencabar.

Keadaan tersebut menyebabkan lori dan kenderaan pengangkutan menggunakan lebih banyak diesel untuk menghantar bekalan ke kawasan bandar mahupun pedalaman. Akibatnya, kos logistik menjadi lebih tinggi dan akhirnya memberi kesan kepada harga barangan yang ditanggung pengguna.

Selain pengangkutan darat, masih banyak komuniti di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak bergantung kepada pengangkutan sungai sebagai laluan utama.

Bot berenjin diesel digunakan setiap hari untuk menghantar anak ke sekolah, mendapatkan rawatan kesihatan, mengangkut hasil pertanian dan perikanan serta membawa bekalan makanan dan keperluan harian.

Bagi masyarakat di kawasan tersebut, diesel bukan sekadar bahan api untuk pengangkutan, malah merupakan keperluan asas yang menyokong aktiviti ekonomi dan kehidupan harian mereka.

Sehubungan itu, wajar sekiranya kerajaan mempertimbangkan pemberian kuota diesel bersubsidi yang lebih tinggi kepada pengguna di Sabah dan Sarawak, termasuk komuniti yang bergantung kepada pengangkutan sungai serta sektor logistik yang beroperasi di kawasan pedalaman.

Pendekatan tersebut bukan bertujuan memperluas subsidi secara menyeluruh, sebaliknya memperhalusi pelaksanaan subsidi bersasar dengan mengambil kira faktor geografi, jarak perjalanan dan keperluan penggunaan sebenar.

Selain itu, kemudahan tambahan seperti subsidi 100 liter sebulan kepada pemilik pikap dan jip yang layak, mekanisme pemindahan kelayakan kepada ahli keluarga terdekat serta pengecualian fi pertukaran hak milik kenderaan diesel selama tiga bulan menunjukkan bahawa kerajaan bersedia menyesuaikan pelaksanaan dasar mengikut realiti penggunaan rakyat.

Pendekatan sama juga boleh dipertimbangkan bagi memperkukuh pelaksanaan dasar tersebut di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.

Kesimpulannya, pelaksanaan harga diesel bersubsidi pada kadar RM2.10 seliter melalui BUDI Diesel merupakan dasar yang positif kerana bukan sahaja membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat yang layak, malah menunjukkan komitmen kerajaan dalam melaksanakan reformasi subsidi secara lebih cekap, bersasar dan mampan.

Penambahbaikan yang diperkenalkan, seperti peluasan liputan penerima, mekanisme pemindahan kelayakan, kemudahan tambahan kepada pemilik pikap dan jip serta pengukuhan sistem pengesahan, membuktikan kesungguhan kerajaan untuk memastikan subsidi sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Pada masa sama, penambahbaikan lanjut dengan mengambil kira cabaran geografi, kos logistik dan kebergantungan kepada pengangkutan sungai di Sabah dan Sarawak akan memastikan manfaat dasar tersebut dapat dinikmati secara lebih menyeluruh, sekali gus menyokong pembangunan ekonomi yang lebih seimbang dan inklusif di seluruh negara.

• Penulis ialah Pensyarah Ekonomi Universiti Teknologi Sarawak.

BERITA LAIN

Larian pesisir pacu ekonomi setempat

PROGRAM Larian Pesisir (Coastal) Sadong Jaya 2026 yang diadakan baru-baru ini dilihat mempunyai keistimewaan tersendiri. Program itu bukan sahaja menjadi aktiviti riadah yang menggalakkan amalan

Sarawak menanti kehadiran MPL

SEDEKAD bukan tempoh yang singkat, apatah lagi bagi sebuah permainan mudah alih yang berjaya bertahan, berkembang dan membina komuniti peminat merentas generasi. Bagi saya, Mobile

BERITA TERBARU