SETELAH 12 tahun menyepi, Sukan Borneo 2025 kembali mewarnai temasya sukan rantau ini dengan semangat kebersamaan dan memberi makna lebih besar daripada sekadar persaingan.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata acara ini bukan semata-mata untuk memburu pingat emas, tetapi mengembalikan semangat lama dalam kalangan wilayah serta provinsi di Borneo.
“Kita tidak begitu meletakkan sasaran pingat emas untuk Sarawak kerana apa yang lebih penting ialah keceriaan dan kegembiraan apabila dapat menganjurkan sukan ini.
“Kita juga mahu menyatupadukan rakyat tanpa terlalu menekankan siapa juara,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Sukan Borneo 2025, hari ini.
Menurut beliau, keutamaan kali ini ialah memastikan kelancaran temasya dan mewujudkan suasana harmoni dalam kalangan kontinjen yang bertanding.
“Jika acara ini dapat dijayakan tanpa sebarang masalah, ia sudah satu kejayaan kerana mampu mengeratkan silaturahim antara wilayah yang mengambil bahagian,” jelasnya.
Mengenai hala tuju Sukan Borneo selepas ini, Abdul Karim berkata mesyuarat kontinjen akan diadakan sebelum temasya kali ini berakhir untuk menentukan tuan rumah edisi 2027.
“Penganjuran seterusnya bergantung kepada kesediaan mana-mana wilayah atau provinsi untuk menjadi tuan rumah. Mereka juga berhak menjemput pihak lain dalam Kepulauan Borneo untuk turut serta.
“Namun untuk kali ini, kita hadkan kepada wilayah Borneo sahaja walaupun ada dua negeri di Semenanjung yang berminat kerana kita mahu mengekalkan identiti asal temasya ini,” ujarnya.
Beliau tidak menolak kemungkinan membuka penyertaan pada masa depan secara jemputan kepada wilayah luar Borneo sama ada dari Semenanjung Malaysia termasuk Australia dan Filipina, demi meningkatkan standard pertandingan.
“Apabila lebih banyak atlet dari luar terlibat, tahap persediaan atlet kita akan meningkat kerana mereka perlu bersaing dengan lawan yang lebih mencabar.
“Dalam dunia sukan, tiada politik. Semakin ramai penyertaan, semakin baik untuk perkembangan atlet,” tegasnya.
Sukan Borneo 2025 yang kembali dianjurkan selepas lebih sedekad dijangka menjadi medan memperkukuh hubungan serumpun selain mengangkat Borneo sebagai kuasa baharu dalam pembangunan sukan rantau ini.



