ARTIKEL

Sukan Borneo 2025 tetap berlangsung meskipun isu jerebu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kejohanan Sukan Borneo 2025 yang dijadualkan pada September depan dijangka berlangsung seperti yang ditetapkan, meskipun terdapat kebimbangan terhadap keadaan jerebu semasa yang melanda beberapa kawasan di Sarawak.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata berdasarkan ramalan cuaca dan unjuran semasa, keadaan jerebu dijangka tidak berada pada tahap membimbangkan ketika temasya itu berlangsung kelak.

“Kalau boleh, kita tidak mahu timbul sebarang masalah pada penganjuran temasya ini kelak.

Malah, berdasarkan ramalan cuaca, pandangan semasa dan indeks kualiti udara, keadaan pada waktu itu dijangka berada pada tahap yang membolehkan aktiviti sukan dijalankan.

“Mungkin ada sedikit jerebu tetapi tidak sampai ke tahap yang menghalang kita daripada meneruskan kejohanan,” katanya ketika ditemui media selepas sidang media Konsert Ulang Tahun Ke-50, Air Supply di Kuching, di sini hari ini.

Mengulas situasi semasa, beliau memaklumkan bahawa jerebu yang melanda kini berpunca daripada kebakaran besar di Kepulauan Riau, Indonesia.

“Asap dari kawasan tersebut merebak sehingga ke Semenanjung dan keadaan di sana agak teruk.

Dalam masa yang sama, peralihan tiupan angin turut membawa jerebu itu hingga ke Kuching.

“Tetapi kawasan Riau tidak begitu besar.

Jadi saya percaya kualiti udara akan kembali pulih dan tidak akan berulang sebaik mereka berjaya mengawal kebakaran tersebut,” jelasnya.

Kepulauan Riau, yang terletak di bahagian barat Indonesia berdekatan dengan Semenanjung, merupakan salah satu kawasan yang kerap mengalami kebakaran hutan dan tanah gambut akibat pembukaan tanah secara haram, terutamanya ketika musim kemarau antara Julai hingga Oktober.

Indonesia telah memulakan operasi pembenihan awan bagi merangsang hujan di Wilayah Riau sejak 20 Julai lalu, dijangka berlangsung sekurang-kurangnya tujuh hari, sebagai tindak balas terhadap lebih 1,200 titik panas yang dikesan di Sumatera, termasuk 586 di Riau.

Mengulas persiapan dari segi fasiliti dan pengurusan, Abdul Karim berkata Sarawak bersedia sepenuhnya untuk menganjurkan temasya berkenaan susulan kejayaan penganjuran SUKMA sebelum ini.

“Tambahan pula, kejohanan ini tidak membabitkan banyak acara.

Hanya lima sukan utama dan dua sukan tradisional, menjadikan jumlah keseluruhan tujuh sukan.

“Berbanding SUKMA yang ada lebih 30 sukan, maka Sukan Borneo ini sangat mudah untuk kita uruskan,” katanya.

Dalam pada itu, ujarnya, kejohanan berkenaan bukan sekadar medan persaingan untuk merebut gelaran juara tetapi sebagai platform mengeratkan hubungan antara atlet dari pelbagai wilayah di Borneo.

Sukan Borneo yang akan dianjurkan dari 24 hingga 28 September depan, menghimpunkan penyertaan dari Sarawak, Sabah, Labuan serta wilayah-wilayah dari Kalimantan bertujuan memupuk semangat perpaduan dan kesukanan serumpun.

BERITA LAIN

15 Individu Tamat Kursus Kejurulatihan

KUCHING: Seramai 15 individu berjaya menamatkan dan lulus Kursus Sijil Kejurulatihan Diploma ‘B’ AFC/FAM yang berlangsung di Kuching. Kursus berkenaan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu

BERITA TERBARU

Wanita maut dalam kemalangan di Batu Niah

MIRI: Seorang wanita berusia 24 tahun maut selepas kereta dipandunya dipercayai merempuh belakang sebuah lori di Jalan Pan Borneo, berhampiran Simpang WTK, Batu Niah, pagi