KUCHING: Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menegaskan, tiada pertambahan acara sukan pada temasya Sukan Borneo 2025 yang dijadual berlangsung dari 24 hingga 28 September nanti.
Sebaliknya, ia kekal dengan acara sukan yang ditetapkan sebelum ini iaitu olahraga, akuatik, lawn bowls, memanah, dan golf secara jemputan.
“Memang kalau ikut keinginan mahu sahaja kita mempertandingkan 20 jenis sukan pada temasya kali ini (Sukan Borneo 2025),” ujar Karim ketika mengulas perkara tersebut selepas sidang media Kejohanan Tenis Remaja Dunia J300 Piala Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg Edisi Ke-42 (1) TF 2025 dipejabatnya, sebentar tadi.
Beliau akui bahawa pihaknya bersikap terbuka jika ada cadangan untuk menambah bilangan jenis acara sukan untuk dipertandingkan.
“Jika jawatankuasa induk bersetuju untuk ditambah acara sukan yang dipertandingkan nanti, kita bersikap terbuka,” jelas beliau.






