ARTIKEL

Abdul Karim bersama atlet-atlet Sukan BOrneo 2025.(FOTO GHAZALI BUJANG)

Sukan Borneo kembali

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SELEPAS 12 tahun, Sukan Borneo kembali mewarnai arena sukan serantau di Bumi Kenyalang.

Sukan badminton sebagai acara buka tirai, yang memulakan saingan semalam.

Tujuh lagi acara akan menyusul, renang, memanah, olahraga, tarik tali, menyumpit, badminton, boling padang dan golf, hingga 28 September ini.

Penyertaan lima kontinjen, Sarawak, Sabah, Labuan, Brunei dan Kalimantan Timur menjanjikain saingan menarik di Kompleks Sukan Petra Jaya, yang sentiasa menjadi tumpuan warga Kuching untuk beriadah saban petang.

Kali ini, ia dikenali sebagai Sukan Borneo Kuching 2025, bukan sekadar persaingan di tengah gelanggang, tetapi juga sebagai platform merapatkan hubungan antara wilayah dengan negeri di Kepulauan Borneo.

Mula diperkenal pada 1955 di Seria, Brunei, Sukan Borneo juga berfungsi sebagai pembangunan generasi baharu, anak-anak muda serantau, dalam laluan mengejar kejayaan ke peringkat yang lebih tinggi.

Ia dihidupkan semula pada 2005, dan diadakan setiap dua tahun sekali hingga 2013.

Antara kontinjen yang turut serta ketika itu ialah Brunei, Sabah, Labuan, Kalimantan Barat, Kalimantan Selatan, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Timur.

Malah kejohanan ini turut disertai kontinjen jemputan dari Melaka (2009), Johor, Pahang, Makassar dan Australia pada 2013. Ini merupakan kali kelima Sarawak sebagai tuan rumah sukan setia kawan itu selepas pada 1960, 1962, 1968 dan 2007.

Bagi Sarawak, apalah sangat sebagai tuan rumah Sukan Borneo, kerana pernah menganjurkan temasya yang lebih besar, seperti Sukan Malaysia (SUKMA) pada 2024.

Yang pasti, Sarawak menyediakan fasiliti bertaraf antarabangsa, seiring dengan reputasi sebagai antara ‘kuasa besar’ sukan di Malaysia.

Kejayaan penganjuran SUKMA 2024, serta juara keseluruhan, mendorong Sarawak mengambil langkah berani, menawarkan diri sebagai antara tuan rumah temasya sukan mega, Sukan SEA 2027.

Malah Sarawak bakal menjadi destinasi acara perasmian sukan terbesar Asia Tenggara itu, yang berlangsung sekali dalam tempoh dua tahun.

Hakikatnya, penganjuran Sukan Borneo 2025, sebagai pentas ‘memanas badan’ untuk Sarawak.

Malah ia juga sebagai promosi awal Sarawak sebagai penganjur bersama Sukan SEA 2027 dalam kalangan kontinjen yang mengambil bahagian.

Dari segi sejarah, Sarawak pernah dipilih sebagai antara enam lokasi Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia Remaja FIFA 1997, ketika Malaysia diberi hak tuan rumah. Ketika itulah ‘berdirinya’ Stadium Sarawak di Petra Jaya, yang menelan belanja sekitar RM120 juta, dan mampu menampung 40,000 penonton.

Tiga gergasi dunia, Brazil, Argentina dan Perancis turut beraksi di situ, yang menghadirkan gegak gempita penonton.

Sejak itu, Sarawak tidak asing lagi dalam kalangan penggiat sukan antarabangsa apabila setiap tahun menjadi tuan rumah Kejohanan Tenis ITF Dunia Peringkat Usia hingga kini.

Walaupun ia tidak sehebat Piala Dunia Remaja FIFA, namun ia mampu menarik lebih 30 negara dan lebih 100 atlet dan pegawai.

Setelah beberapa edisi, ramai atlet, jurulatih dan pegawai begitu teruja untuk ke Sarawak.

Mereka mengetahui kehebatan Bumi Kenyalang yang kaya alam semula jadi, daripada rakan-rakan, dan pelbagai informasi terkini di alam maya

. Malah Sarawak juga menjadi lokasi strategik acara sukan global seperti Triatlon, Ironman mahupun Maraton Kuching.

Turut diadakan ialah Kejohanan Silat Dunia Piala Premier, Tenpin Boling Antarabangsa Sarawak, Kejohanan Boling, Kejohanan Tenpin Remaja Dunia, Persidangan Asia Pasifik Analisis Prestasi Psikologi Sukan dan Kejohanan Badminton Sedunia 2023.

Penganjurannya membantu membangunkan pelbagai aspek, termasuk strategi serta kemahiran pentadbiran dan pengurusan pemain, jurulatih, pengurus dan persatuan sukan.

Ia juga selaras dengan inisiatif pelancongan sukan seperti yang ditubuhkan dalam Pelan Tindakan dan Pelaksanaan (PCDS) bagi meningkatkan jumlah kehadiran pelancong.

Di samping itu, kita juga berupaya membina asas yang lebih besar dalam mengetengahkan bakat baharu dan meningkatkan kualiti prestasi atlet, serta peluang kepada penduduk tempatan menyaksikan acara antarabangsa.

Malah penganjuran program berkaitan seperti persidangan, bengkel, seminar dan seumpamanya juga mampu meningkatkan pengetahuan serta membentuk sikap positif dalam kalangan pengamal sukan di Sarawak.

Menjadi tuan rumah acara sukan, sama ada antarabangsa atau peringkat nasional merupakan salah satu cara untuk meningkatkan sektor pelancongan sukan di negara ini.

Pada 2018 misalnya, ia mencecah USD $1.41 trilion dan sepatutnya meningkat kepada sekitar USD $5.72 trilion pada 2021, jika tidak kerana wabak COVID-19.

Pelancongan sukan menjadi “sub” yang cukup popular dalam sektor pelancongan sejak dua dekad. K

ejayaan menganjurkan persidangan dunia dalam pelancongan sukan di Barcelona, Sepanyol sekitar 15 tahun yang lalu menjadi perintis terhadap perhatian serius dan liputan meluas pada tahun keberikutnya.

Pelancongan dan sukan wujud dalam dua ruang aktiviti berasingan.

Dalam tempoh itu, kebanyakan sarjana, pembuat keputusan dan pihak kerajaan yang terlibat dalam bidang pelancongan dan sukan melihat keuntungan bagi keduadua sektor ini secara terpisah, namun manfaatnya jauh lebih besar.

Di Malaysia, kejayaan menganjurkan Le Tour de Langkawi sejak 1996 hingga kini menjadi pemula kepada tumpuan kerajaan terhadap pembangunan sektor pelancongan sukan.

Malaysia semakin dikenali dengan penganjuran beberapa sukan global, seperti Royal Langkawi International Regata (Januari), Ironman Triathlon (Februari), Formula 1 Grand Prix Malaysia (Mac), Piala Dunia Showjumping FEI (Mei), Perlumbaan Petronas Primax 3 Merdeka Millineum Endurance (Julai), Super GT (Ogos), Grand Prix Motosikal Malaysia (September), A1GP Malaysia (November) dan Piala Monsun (Disember).

Semuanya membawa pulangan lumayan kepada masyarakat dan negara.

Sukan memiliki kelebihan sebagai produk pelancongan kerana tempoh penganjurannya dalam beberapa hari, mendapat liputan media secara meluas, menerima tajaan daripada pelbagai syarikat multinasional dan domestik.

Ia juga membuka peluang penduduk tempatan menjalankan perniagaan dalam tempoh kejohanan berlangsung. Yang pasti, Sukan Borneo 2025, merintis satu lagi peluang Sarawak, untuk mengukuhkan jenama penganjuran di peringkat serantau.

Walaupun ia tidaklah serancak SUKMA, apatah lagi Sukan SEA, tetapi kemunculan semula sukan ini, membuka peluang yang luas kepada atlet kita untuk menonjolkan diri.

Ia juga sebagai salah satu persediaan untuk mengharungi SUKMA 2026 di Selangor.

Mungkin pada masa akan datang, lebih banyak acara diadakan, termasuk sukan popular masa kini seperti tinju dan Muay Thai yang berpangkalan di Sri Aman dan Bintulu.  

BERITA LAIN

Jiwa besar pemimpin berundur

TIMBALAN Speaker DUN Sarawak, Datuk Idris Buang, 72, wakil Gabungan Parti Sarawak (GPS) daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di DUN Muara Tuang merupakan antara

Jasa Jambatan Batang Paloh

DALAM minggu lepas, empat kali saya ulang-alik dari Kuching ke Sarikei dan Matu, kemudian ke Sibu, balik semula ke Sibu, Tanjung Manis dan Matu menggunakan

BERITA TERBARU

HIKMAH perkukuh gerak kerja dakwah

KUCHING: Harakah Islamiah (HIKMAH) akan terus memperkukuh keupayaan organisasi itu dalam melaksanakan gerak kerja dakwah dan pelbagai program pembangunan masyarakat Islam secara lebih sistematik serta