PENGELOLAAN aktiviti sukan bukanlah landasan untuk memperlihatkan bakat golongan sasar yang terlibat dalam acara disertai.
Sebaliknya, ia merupakan pentas terbaik untuk memperkukuh hubungan silaturahim antara semua pihak.
Pada masa yang sama, pendekatan ini juga menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat setempat. Itulah gambaran sebahagian objektif di sebalik penganjuran beberapa aktiviti sukan yang berlangsung di Pusat Sukan Riveria, Debak, baru-baru ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam, menyifatkan langkah yang amat tepat dilakukan oleh badan induk yang bertanggungjawab mengelola aktiviti sukan berkenaan.
“Kredit berganda diperoleh bersama setiap kali penganjuran aktiviti sukan diadakan.
“Kita bukan sahaja dapat melihat bakat generasi muda di kawasan ini, sebaliknya ia menjadi landasan untuk merapatkan hubungan silaturahim antara semua pihak yang terlibat,” ujar Razi.
Hujung minggu lalu berlangsung dua acara sukan, iaitu Kejohanan Futsal Wanita Terbuka Betong 2025, Piala Datin Hafsah Saleh dan Kejohanan Bola Sepak Bawah 18 Tahun, Piala ADUN Saribas (Datuk Mohammad Razi Sitam) 2025.
Ironinya, kita dapat melihat pelibatan golongan sasar, terutama para belia dan remaja dari seluruh Bahagian Betong serta kawasan lain.
Menurut Razi, ia dilihat sebagai suatu perkembangan positif dalam usaha memperkasakan pembangunan bakat mereka secara meluas.
Dalam pada itu, beliau percaya bahawa usaha pengelolaan sebarang aktiviti sukan juga dapat memberi peluang kepada peserta yang terlibat untuk memperlihatkan bakat serta kebolehan mereka.
“Syabas dan tahniah kepada jawatankuasa pengelola kerana berjaya menganjurkan keduadua program berkenaan.
“Besar harapan kita agar pelaksanaannya dapat diteruskan pada masa mendatang,” tambah beliau.
Sementara itu, kelab handalan Afa FC mencipta kejutan apabila berjaya merangkul gelaran juara Kejohanan Futsal Wanita Terbuka Betong 2025, Piala Datin Hafsah Saleh.
Jagoan terbilang dari Kuching itu mudah menumpaskan Fuerza FT dengan jaringan 2-0 pada aksi akhir yang berlangsung sengit.
Kejayaan itu membolehkan pemain Afa FC membawa pulang piala pusingan, pingat dan wang tunai RM1,000, manakala pemain Fuerza FT selaku naib juara menerima wang tunai RM700 beserta pingat.
Sementara itu, pasukan Sesang Tigris dan Alter Ego FC yang tewas di peringkat separuh akhir masing-masing membawa pulang wang tunai RM400 dan pingat selaku pemenang tempat ketiga bersama.
Pasukan KSRB Bungin turut melakar sejarah tersendiri apabila berjaya merangkul gelaran juara pada Kejohanan Bola Sepak Bawah 18 Tahun, Piala ADUN Saribas (Datuk Mohammad Razi Sitam) 2025.
Pilihan popular itu bagaimanapun dipaksa bekerja keras sebelum menundukkan Hermanos Saratok 2-1 menerusi penentuan penalti selepas kedua-duanya terikat tanpa jaringan pada aksi akhir.
Kedua-dua pasukan terbabit menerima hadiah yang disediakan oleh jawatankuasa pengelola.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Razi, serta Temenggong Melayu Bahagian Betong, Piee Alwi.
Turut hadir ialah Setiausaha Persatuan Bola Sepak Bahagian Betong (BDFA), Saiful Hanizam Suhaini, serta ketua-ketua masyarakat setempat. Beberapa acara lain turut dilangsungkan, antaranya pertandingan masakan tradisional, pertandingan gubahan nanas dan sebagainya.






