KUCHING: Sukan dilihat sebagai platform penting dalam memperkasa orang kelainan upaya (OKU) selain memberi peluang kepada mereka membina keyakinan diri dan menyerlahkan potensi dalam pelbagai bidang.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, penyertaan dalam sukan bukan sahaja memberi ruang kepada atlet OKU untuk bersaing, malah membantu meningkatkan keupayaan mereka dari segi fizikal dan mental.
Menurutnya, kejayaan yang dicapai atlet OKU turut membuktikan golongan tersebut mampu mencapai kecemerlangan sekiranya diberi peluang dan sokongan yang sewajarnya.
“Sebab prinsipnya, sukan ini sebenarnya adalah untuk memperkasakan OKU. Jadi dalam kegairahan kita untuk mengejar kecemerlangan, kita jangan lupa prinsip asas sukan adalah untuk memperkasakan OKU,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas terdahulu menerima kunjungan hormat Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol di Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWK) di Bangunan Baitul Makmur 2, di sini, pada Isnin.
Fatimah menjelaskan, Sarawak terus komited membangunkan sukan melibatkan atlet OKU melalui pelbagai inisiatif termasuk memberi sokongan kepada atlet dalam pelbagai kategori sukan.
Menurutnya, antara kategori yang dibangunkan termasuk sukan para, Special Olympics, sukan bagi orang pekak, atlet masalah penglihatan serta kategori kerdil.
Tambahnya, Sarawak juga aktif menganjurkan kejohanan sukan melibatkan atlet OKU bagi memberi lebih banyak peluang kepada mereka untuk menyertai pertandingan.-TVS



