KUCHING: Sebanyak 28 kontinjen institusi pendidikan tinggi di seluruh Sarawak bakal berentap dalam Sukan Institusi Pendidikan Tinggi Sarawak (SUKIPT Sarawak) 2026 yang menjadi medan pencarian bakat serta saringan atlet mahasiswa ke SUKIPT Malaysia.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof. Dr Al-Khalid Othman berkata, kejohanan peringkat negeri yang berlangsung dari 30 Julai hingga 2 Ogos 2026 itu menjadi medan untuk setiap atlet mempamerkan aksi terbaik mereka.

“Sejajar dengan Dasar Sukan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk Kluster Borneo, kejohanan berprestij yang diterajui oleh UNIMAS selaku tuan rumah dengan kerjasama KPT Malaysia ini meletakkan sasaran serampang dua mata.
“Ini termasuk memperbanyakkan pertandingan kompetitif di peringkat IPT dan melahirkan Thinking Athlete dalam kalangan pelajar.
“Inilah medan saringan yang kompetitif sebelum membawa cabaran institusi masing-masing ke temasya SUKIPT Malaysia yang dijadualkan berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September 2026,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas perkara tersebut selepas Mesyuarat Penyelarasan Kontinjen Bersama KPT yang diadakan di Bilik Mesyuarat Utama, Bangunan Canselori UNIMAS, baru-baru ini.
Lebih membanggakan, katanya, edisi kali ini mencatatkan penyertaan penuh 28 kontinjen IPT di seluruh Sarawak dan dijangka menghimpunkan seramai 2,000 peserta yang merangkumi atlet, pegawai pengiring, sukarelawan serta pegawai teknikal.
“Kejohanan ini akan berlangsung di dua lokasi utama, iaitu UNIMAS dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak, Kampus Samarahan. Para penyokong dan peminat sukan tempatan bakal disajikan dengan lapan acara sukan yang cukup kompetitif.
“Acara tersebut melibatkan futsal, bola jaring, ragbi 7’s, petanque, sepak takraw, e-sukan (PUBG dan Mobile Legends: Bang Bang), badminton serta orienteering,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua peminat sukan di Sarawak supaya menyokong kemunculan ribuan atlet mahasiswa yang bakal mempamerkan semangat kesukanan dan daya juang yang tinggi di Samarahan.






