KUCHING: Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024, yang akan membuka tirainya dari 17 hingga 24 Ogos ini, dijangka menyumbang besar kepada kemasukan pelawat ke Sarawak.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata ia sekali gus membolehkan sasaran empat juta pelawat pada tahun ini dapat dicapai lebih awal menjelang September.
“Dalam temasya SUKMA ini, saya yakin ramai pelawat yang akan masuk, bukan sahaja terdiri daripada kontinjen setiap negeri, tetapi juga ahli keluarga atlet,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Konvensyen Innovative And Creative Circle (ICC) Peringkat Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Tahun 2024 di sini, hari ini.
Menurut Karim, yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, kemasukan pelawat yang direkodkan dalam tempoh Januari hingga Julai tahun ini adalah seramai 2,838,572 orang.
Jumlah tersebut terdiri daripada 1,763,815 pelancong asing dan 1,074,757 pelawat domestik (Semenanjung Malaysia dan Sabah).
Katanya, ia turut menyumbang kepada resit pelancongan Sarawak berjumlah lebih RM7 bilion berbanding tempoh sama tahun lepas yang merekodkan lebih RM5 bilion, iaitu pertambahan sebanyak 27.11 peratus.
“Dalam tempoh Julai lalu sahaja, pelawat paling ramai adalah dari Brunei, iaitu 164,141 orang, diikuti Indonesia (58,407), China (8,466), Singapura (5,111) dan Filipina (3,974),” katanya.
SUKMA 2024 melibatkan sembilan bahagian, iaitu Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.
Temasya kali ini akan mempertandingkan 488 acara dalam 37 jenis sukan, yang terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 acara wanita dan 35 acara campuran.
SUKMA XXI 2024 dijangka menghimpunkan 12,619 atlet dan pegawai.



