KUCHING: Senarai muktamat atlet skuad memanah Sukma Sarawak akan diketahui awal bulan Jun depan atau selepas sambutan Gawai Dayak.
Ketua jurulatih memanah Sukma Sarawak, Jaffery Low Wei Loon berkata, skuad kali ini masih menghimpunkan seramai 24 atlet, dengan jumlah itu akan dikurangkan kepada 16 orang pada fasa pemilihan seterusnya.
“Kami masih mempunyai senarai panjang buat masa ini. Kejohanan ini juga merupakan salah satu pendedahan bagi semua atlet yang terlibat,” katanya ketika ditemui Arena Suara Sarawak selesai Kejohanan Memanah Terbuka Sarawak 2026, baru-baru ini.
Low menambah, barisan kejurulatihan berharap dapat memuktamadkan senarai pendek barisan atlet tersebut pada awal bulan depan.
Ini kerana katanya, atlet yang disenarai pendek kelak akan menyertai Kejohanan Memanah Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) yang akan berlangsung di Shah Alam, Selangor.
Dalam pada itu, Low akui kem kendaliannya itu akan menyertai Kejohanan Memanah Sirkit Kebangsaan ketiga 2026 yang sebelum ini dijadual berlangsung pada Julai di Sabah.
“Mengikut jadual asal kejohanan terbabit akan berlangsung di Sabah. Pun begitu, difahamkan lokasi dijangka bertukar.
“Setakat ini, kami belum dimaklumkan secara terperinci,” katanya.
Low turut berharap pasukannya memperoleh dana yang mencukupi untuk menyertai satu atau dua lagi kejohanan tambahan sebelum persiapan akhir untuk Sukma kelak.
“Setakat ini, kami mempunyai enam pemanah berpengalaman, dan kami mahu terus membina pasukan ini agar lebih mantap dengan memberi pendedahan kepada mereka menerusi pelbagai pertandingan,” akuinya.



