KLANG: Nasib berbeza dialami skuad bola keranjang 3X3 lelaki dan wanita Sarawak ketika turun dalam aksi pembukaan yang berlangsung di Dewan Bola Keranjang Bukit Tinggi 2 hari ini.
Skuad lelaki berjaya mencatat kemenangan awal, manakala pasukan wanita gagal menyerlah selepas tewas dalam dua aksi pertama.
Perlawanan pertama saingan Wanita Pool C menyaksikan skuad Sarawak yang mempertaruhkan Natasha Ong Yee Rou, Karen Wong Khai Xin, Jolin Ting Pei Wen dan Yeu Yii Ting tewas tipis 16-17 kepada Johor.
Aksi kedua menentang Negeri Sembilan turut berakhir dengan kekalahan 15-21, sekali gus menutup peluang Sarawak untuk mara ke pusingan seterusnya.
Kekecewaan itu bagaimanapun ditebus pasukan lelaki Sarawak selepas berjaya menumpaskan Pahang dalam aksi Pool C, dengan gandingan Leon Ling Sheng Yi, Nelson Tan Yin Fung, Hii Tai Seng dan Denny Pek Sheng Yi mencatat kemenangan 21-15 dalam perlawanan sengit.






