SELANGOR: Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) terus memperkukuh persiapan pasukan bagi mempertahankan kejuaraan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 menerusi program latihan dan pendedahan pertandingan yang disusun secara berperingkat sejak Jun lalu.
Presiden PMNS, Jumaat Ibrahim berkata, persiapan awal pasukan bukan sahaja memberi tumpuan kepada aspek kecergasan fizikal, malah merangkumi pembangunan teknik, pengalaman pertandingan, ketahanan mental serta pembentukan disiplin atlet.
“PMNS mengambil pendekatan persiapan secara berfasa dan berterusan.
Kita mahu atlet Sarawak hadir ke SUKMA bukan sekadar dengan kecergasan fizikal, tetapi dengan pengalaman pertandingan, keyakinan dan kematangan taktikal yang mencukupi untuk menghadapi cabaran di pentas SUKMA,” katanya ketika mengulas mengenai perkara itu.
Beliau memberitahu, sebagai sebahagian daripada persiapan awal, 16 hingga 26 Jun 2026 dijadikan salah satu fasa penting pembangunan pasukan menerusi penyertaan dan pendedahan di pentas antarabangsa di Kuala Lumpur.
Menurutnya, Sarawak berpeluang menyertai IFMA World Muaythai Championship 2026, yang berlangsung pada 18 hingga 20 Jun 2026, selain program berkaitan 1st Muaythai School World Championships 2026.
Kejohanan di bawah naungan International Federation of Muaythai Associations (IFMA) tersebut menghimpunkan atlet dari pelbagai negara dan menjadi platform penting untuk atlet Sarawak mengukur tahap kemampuan mereka berbanding peserta antarabangsa.
“Pendedahan ini amat penting bagi membina pengalaman pertandingan, meningkatkan keyakinan serta membantu atlet dan barisan kejurulatihan mengenal pasti aspek teknikal dan taktikal yang masih perlu diperkemas,” jelas Jumaat.
Selain itu katanya, skuad Muay Thai Sarawak turut mendapat pendedahan antarabangsa melalui kem latihan intensif selama sebulan di Bangla Boxing Stadium, Phuket, Thailand.
Sepanjang berada di Thailand, atlet menjalani latihan harian berintensiti tinggi di bawah bimbingan jurulatih Ajan Putra, Goday, Zulkifli dan Roslan.
Selain sesi latihan, atlet turut diberikan peluang menyertai beberapa siri perlawanan dan sparring menentang petarung dari Thailand serta beberapa negara lain.
Hasil penyertaan dalam siri perlawanan tersebut, skuad Muay Thai Sarawak berjaya merekodkan sembilan kemenangan dan empat kekalahan.
Menurut Jumaat, pencapaian tersebut merupakan satu petunjuk positif perkembangan prestasi atlet, walaupun masih terdapat ruang untuk penambahbaikan.
Selepas menamatkan kem intensif di Phuket, skuad Muay Thai Sarawak kini meneruskan persiapan di Kelab MZ Repek, Pasir Mas, Kelantan sebelum bertarung di Selangor.
Pada edisi kali ini, skuad Muay Thai Sarawak membariskan seramai 12 atlet iaitu lapan lelaki dan empat wanita untuk mencapai misi mempertahankan kejuaraan yang dimenangi dua tahun lepas.
Atlet lelaki ialah Azhad Haziq Syafaat Abdul Khalid, Malvince Chris Eddie Kuwing, Mohamad Fitri Haqiem Abdullah Mohamad Nasir, Muhammad Hakim Bin Abdullah Kimi, Muhammad Nur Aiman Kamaruddin, Muhammad Syarul Fareez Jafar, Razie Rafizie Razali dan Zikry Zaidi.
Manakala atlet wanita ialah Andieva Scholastica Tan, Emylia Lynn Ghazali Zulfikar, Fatiha Hanum Abdul Hasrul dan Hani Anissa Ismail.
Acara Muay Thai akan membuka gelanggang dari 19 hingga 23 Ogos di KSL Esplanade Mall, Klang.






