KUCHING: Presiden Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS), Haji Jumaat Ibrahim menegaskan, pihaknya mungkin akan terkesan dari segi kutipan pingat pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024.
Situasi tersebut tidak mampu dielakkan sekiranya salah satu kategori iaitu Mai Muaythai Wanita (Seni Duo) sah digugurkan dari senarai dipertandingkan bagi temasya dwitahunan itu kelak.
“Memang kita di PMNS amat berharap dan mahukan semua kategori dalam sukan Muaythai dapat dipertandingkan pada Sukma XXI Sarawak 2024.
“Namun, jika kategori itu (Mai Muaythai Wanita/Seni Duo) sah digugurkan, ia akan memberi sedikit kesan terutama dari perolehan pingat,” ujar Jumaat kepada Arena Suara Sarawak.
Tambah beliau, kategori terbabit berada dalam radar pihaknya untuk beroleh pingat pada penampilan di kejohanan berprestij negara.
Apa pun katanya, status kategori terbabit untuk digugurkan dari Sukma XXI Sarawak 2024 belum diumum secara rasmi.
“Besar harapan kita ia dapat dipertandingkan, walaupun kategori terbabit kini hanya mempunyai lima penyertaan berbanding enam kouta wajib ditetapkan sebelum ini,” jelas Jumaat lagi.






