MUKAH: Pasukan Melaka dan Wilayah Persekutuan berjaya mara ke pentas final acara bola sepak lelaki selepas menyingkirkan lawan masing-masing pada perlawanan separuh akhir, petang tadi.
Melaka memastikan slot untuk perebutan pingat emas dan perak itu selepas menumpaskan juara bertahan, Terengganu (4-3) menerusi penentuan sepakan penalti.
Perlawanan kedua-dua pasukan terbabit yang berlangsung di Stadium Mukah berlanjutan sehingga masa tambahan berkesudahan seri (1-1).
Gol pasukan Melaka dijaringkan oleh Muhammad Afiq Norizan minit ke-72. Gol penyamaan Terengganu hasil jaringan sendiri ketua pasukan Melaka, Muhammad Firdaus Mohd. Ya’akub.
Sementara itu, Wilayah Persekutuan mara ke perlawanan akhir selepas menumpaskan Kelantan dengan jaringan (4-2) di Padang Mesra MDDM juga menerusi penenti sepakan penalti selepas terikat tanpa jaringan pada perlawanan yang berlanjutan masa tambahan.
Perlawanan akhir membabitkan kedua-dua pasukan (Melaka & Wilayah Persekutuan) akan berlangsung pada Sabtu ini di Stadium Mukah.
“Cukup gembira dengan kemenangan diperoleh pemain sekali gus memastikan kami (Melaka) mara ke final.
“Terima kasih kepada pemain kerana melaburkan komitmen yang begitu tinggi sepanjang perlawanan,” ujar ketua jurulatih Melaka, MD. Nor Derus ketika ditemui Arena Suara Sarawak selesai perlawanan.



