KOTA SAMARAHAN: Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) berlangsung semalam sebagai simbolik kesediaan menghadapi Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) Edisi Ke-46 2026.
Majlis ringkas penuh bermakna itu berlangsung di Dewan CTF 1, UNIMAS dan disempurnakan oleh Pendaftar UNIMAS, Haji Azlan Ramli yang mewakili Naib Canselor UNIMAS.
Kejohanan SUKUM Ke-46 2026 akan berlangsung di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu bermula 6 hingga 15 Ogos ini.
Seramai 160 atlet dan pegawai mewakili UNIMAS bakal bertanding dalam 15 acara sukan iaitu badminton, bola sepak veteran, bola tampar lelaki, bola tampar wanita, catur, dart, futsal lelaki, futsal wanita, memanah, olahraga, petanque lelaki, petanque wanita, pingpong, tenpin boling lelaki dan tenpin boling wanita.
Bagi edisi kali ini, kontinjen UNIMAS mensasarkan lapan pingat emas, lapan perak dan lapan gangsa, sekali gus memperkukuh kedudukan universiti itu sebagai antara institusi yang kompetitif dalam arena sukan staf universiti.
Dalam majlis sama, turut berlangsung penyerahan Jalur Gemilang kepada tiga kakitangan UNIMAS yang terpilih mewakili Malaysia melalui Persatuan Va’a Malaysia ke Kejohanan IVF Va’a World Sprint Championship Singapore 2026 dari 17 hingga 30 Ogos ini.
Tiga kakitangan berkenaan ialah Hardy Suntol (AT2HB), Mahadir Hassan (Pejabat Pembangunan) dan Monica Anak Igu (Pejabat Pembangunan).
Pemilihan ketiga-tiga kakitangan berkenaan membuktikan kecemerlangan warga UNIMAS bukan sahaja di peringkat universiti dan kebangsaan, malah mendapat pengiktirafan untuk menggalas cabaran negara di pentas dunia.
Penyerahan Jalur Gemilang itu melambangkan penghormatan universiti serta sokongan penuh kepada mereka dalam menggalas amanah sebagai wakil Malaysia.
Dalam ucapannya, Azlan menzahirkan keyakinan bahawa seluruh kontinjen UNIMAS mampu mempamerkan prestasi terbaik sepanjang kejohanan serta menjunjung tinggi semangat kesukanan, disiplin dan integriti.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua jurulatih, pengurus pasukan dan urus setia yang bertungkus-lumus membuat persiapan bagi memastikan penyertaan UNIMAS berjalan lancar.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada tiga kakitangan yang terpilih mewakili Malaysia dan berharap kejayaan mereka menjadi inspirasi kepada seluruh warga universiti untuk terus mengharumkan nama UNIMAS di persada antarabangsa.
Kontinjen UNIMAS akan beraksi dengan moto “UNIMAS Lestari, Warga Sihat, UNIMAS Cemerlang” yang mencerminkan komitmen universiti dalam membudayakan gaya hidup sihat, memperkukuh perpaduan warga serta melahirkan atlet yang berdaya saing dan cemerlang.
UNIMAS mendoakan agar seluruh kontinjen mencapai sasaran yang ditetapkan dalam SUKUM Ke-46, di samping mendoakan kejayaan tiga wakil negara berkenaan mengibarkan Jalur Gemilang di IVF Va’a World Sprint Championship Singapore 2026 sekali gus mengharumkan nama Malaysia dan UNIMAS.






