ARTIKEL

Sultan Ibrahim dan jawatan Yang di-Pertuan Agong

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

HARI ini, rakyat Malaysia akan menerima ketua negara yang baharu. Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar akan mengangkat sumpah sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Beliau menggantikan iparnya, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menamatkan tugasnya semalam.

Diputerakan pada 22 November 1958, baginda merupakan kerabat Johor kedua yang dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Sebelum ini, ayahanda baginda, Sultan Iskandar ibni Sultan Ismail telah menaiki takhta bermula 26 April 1984 hingga 25 April 1989.

Sultan Ibrahim menaiki takhta Kesultanan Johor pada 23 Januari 2010 berikutan kemangkatan ayahanda atau “abah” baginda, sebelum dimahkotakan pada 23 Mac 2015 dalam satu majlis gilang-gemilang.

Pelantikan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong telah diputuskan dalam mesyuarat Majlis RajaRaja pada 27 Oktober 2023.

Dari segi sejarahnya, institusi Yang di-Pertuan Agong diwujudkan hasil daripada kajian dan cadangan Suruhanjaya Reid yang merangka Perlembagaan Persekutuan.

Cadangan jawatan ini timbul berikutan tentangan terhadap penubuhan Malayan Union yang dilihat cuba menghapuskan institusi raja-raja Melayu.

Pada asalnya, gelaran yang dicadangkan ialah Yang di-Pertuan Besar, namun ia ditolak oleh Majlis Raja-Raja, dan memilih gelaran Yang di-Pertuan Agong. Majlis Raja-Raja kemudian telah bersidang untuk mengundi pemegang takhta yang pertama.

Ketika itu, Sultan Johor, Mejar Jeneral Sultan Sir Ibrahim Al-Masyhur ibni Almarhum Sultan Abu Bakar, yang menaiki takhta sejak 1895, (merupakan sultan yang paling lama memerintah) telah dicadangkan untuk memegang jawatan tersebut.

Akan tetapi baginda menolak pelantikan tersebut kerana telah lanjut usia. Baginda berusia 84 tahun ketika itu.

Nama Sultan Pahang, Sultan Sir Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam Shah, yang memerintah sejak tahun 1932 pula naik, namun baginda tidak mendapat mandat secukupnya daripada anggota majlis.

Seterusnya, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Abdul Rahman ibni Tuanku Muhammad (yang menaiki takhta pada 1933) dicadangkan dan ia mendapat persetujuan dan mandat majlis.

Kerana itulah kemudiannya Tuanku Abdul Rahman telah dilantik sebagai Yang diPertuan Agong Malaysia pertama. Jawatan Yang di-Pertuan Agong digilirkan setiap lima tahun antara sembilan pemerintah negeri Melayu.

Pemilihannya dilakukan oleh Majlis Raja-Raja mengikut kaedah dan cara yang ditetapkan dalam Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan-Peraturan Majlis Raja-Raja.

Jika berlaku kekosongan jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, urusan pemilihan hendaklah dibuat tidak lewat daripada empat minggu dari tarikh berlaku kekosongan jawatan itu.

Penggiliran asal Yang di-Pertuan Agong adalah mengikut kekananan tempoh pemerintahan Raja-Raja Negeri ketika dipilih.

Kebiasaannya, Raja yang paling kanan dari segi pemerintahan dipilih, tetapi peraturan itu tidak lagi diguna pakai selepas semua Raja dari negeri-negeri telah dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong.

Pusingan ini berakhir selepas Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuff Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-9 pada 26 April 1989 hingga 25 April 1994.

Setelah itu, senarai penggiliran baharu disusun semula dan tidak lagi mengikut kekananan tempoh pemerintahan Raja-Raja Negeri.

Senarai yang diguna pakai sekarang adalah berpandukan kepada kekananan negeri yang rajanya telah dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong sebelum ini (1957-1994) mengikut Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan.

Ia bermula dengan Yang diPertuan Besar Negeri Sembilan diikuti Sultan Selangor; Raja Perlis; Sultan Terengganu; Sultan Kedah; Sultan Kelantan; Sultan Pahang; Sultan Johor dan Sultan Perak.

Pun begitu, penggiliran ini masih tertakluk kepada perkenan dan undi rahsia ketika Mesyuarat Pemilihan Majlis Raja-Raja.

Menurut Perlembagaan Persekutuan, seseorang Raja adalah layak dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong kecuali tiga sebab iaitu Raja itu belum dewasa; Raja itu telah memberitahu Penyimpan Mohor Besar Raja-raja bahawa baginda tidak berhasrat dipilih; atau Majlis Raja-raja mengambil ketetapan dengan undi sulit bahawa Raja itu “tidak sesuai” untuk menjalankan fungsi-fungsi Yang di-Pertuan Agong disebabkan oleh kelemahan akal atau tubuhnya, atau kerana apa-apa sebab lain. Ketetapan ini memerlukan undian sekurangkurangnya lima orang Raja.

Terdapat beberapa faktor yang akan dipertimbangkan oleh Majlis Raja-Raja melalui undi rahsia bagi menentukan pengganti bagi jawatan Yang di-Pertuan Agong.

Syarat yang diambil kira ialah kekananan dalam kalangan Sultan dan Raja; baginda berkenan untuk menjadi Yang di-Pertuan Agong; tidak mengalami kelemahan atau ketidakupayaan mental; merupakan Raja yang berada di kedudukan teratas; mendapat sokongan sekurang-kurangnya lima Raja lain; dan bukan seseorang yang telah memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong selama dua penggal berturut-turut.

Faktor lain ialah usia dan tempoh masa pemerintahan di negeri.

Pelantikan Sultan Ibrahim sebenarnya cukup menarik, kerana baginda merupakan seorang yang cukup berpengalaman.

Baginda memangku pemerintahan Johor ketika berusia 26 tahun, ketika ayahandanya melaksanakan tanggungjawab mentadbir negara dari Istana Negara.

Dan proses ini telah mematangkan baginda, yang serba sedikit mewarisi corak kepimpinan idolanya itu.

Dari sudut wajahnya, penggemar pelbagai jenis kenderaan dan pengasas Kembara Mahkota Johor ini tampak garang dan tegas.

Tetapi di sebalik aura garang, tegas dan cakap lepas itu, di hatinya ada taman.

Hatinya mudah tersentuh. Baginda amat mementingkan rakyatnya, bangsa Johor dan sentiasa turun padang menyantuni mereka.

Baginda cepat marah jika ada yang tidak kena pada matanya, terutama yang menyentuh martabat dan maruah keluarganya.

Tetapi juga cepat sejuk dan bukan pendendam.

Seperti adindanya, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, beliau seorang yang arif dan gemar memasak, dan sentiasa bangga menunjukkan kemahirannya.

Namun apa yang paling ketara ialah beliau seorang penyakat dan suka bergurau.

Dilahirkan sebagai Tunku Ibrahim Ismail ibni Tunku Mahmood Iskandar di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, baginda merupakan anakanda ketiga dan putera sulung daripada 10 adik-beradik.

Bondanya, seorang wanita Inggeris dari Torquay, England bernama Josephine Ruby Trevorrow. Josephine bertemu jodoh dengan Tunku Mahmood (nama sebenar Sultan Iskandar) ketika baginda melanjutkan pelajarannya di England.

Trevorrow kemudian memeluk agama Islam dan menukar namanya kepada Kalsom binti Abdullah setelah berkahwin dengan Tunku Mahmood.

Tunku Ibrahim mendapat pendidikan di Sekolah Temenggong Abdul Rahman, Johor sebelum menyambung pelajarannya di Trinity Grammar School di Australia pada 1968.

Kembali ke Johor, baginda kemudiannya belajar di Maktab Sultan Abu Bakar selain bersekolah di Sekolah Agama Bukit Zaharah dan Sekolah Agama Air Molek di Johor Bahru.

Menurut baginda, beliau agak nakal ketika era persekolahan ini.

Ini termasuklah “mengenakan” seorang cikgu di Sekolah Agama Air Molek, dengan melastik sarang tebuan ketika cikgu tersebut melintasi kawasan tersebut.

Akibatnya, baginda dihukum.

Namun katanya, baginda amat menghormati guru dan tidak pernah memberitahu abahnya, jika baginda dihukum kerana kenakalan di sekolah.

Beberapa tahun kemudian, Tunku Ibrahim telah dihantar ke Pusat Latihan Darat (Pulada) di Kota Tinggi untuk menerima latihan asas ketenteraan selama tiga bulan sebelum terbang ke Fort Bening, Georgia, Amerika Syarikat.

Di sini baginda telah mengikuti Kursus Asas Pegawaipegawai Infantri dan Udara.

Baginda turut mengikuti Kursus Pegawaipegawai Pasukan Khas di Fort Bragg, Amerika Syarikat.

Kembali ke Malaysia, Tunku Ibrahim kemudian dilantik sebagai Timbalan Komander, Angkatan Tentera Johor.

Baginda menerima sayap penerbangan selepas menerima kursus latihan helikopter di Kem Tentera Kluang.

Baginda juga menamatkan tugas latihan selama dua bulan dalam Tentera Laut Diraja Malaysia.

Tunku Ibrahim Ismail dilantik Tunku Mahkota Johor pada 3 Julai 1981 dan bersemayam di Istana Pasir Pelangi. Pada waktu ini, baginda sering mengikuti ayahandanya melawat segenap pelosok Johor dan mendekati rakyat.

Antara peranannya waktu ini termasuklah menghadiri mesyuarat Majlis Raja-Raja.

Sebelum Sultan Iskandar mangkat, baginda bertanya kepada Tunku Ibrahim sama ada beliau sudah bersedia untuk mengambil alih peranan sebagai Sultan.

Biarpun tidak menganggapnya sebagai sesuatu yang serius, Tunku Ibrahim menegaskan beliau sudah bersedia.

Tidak lama selepas itu, baginda Sultan Iskandar tiba-tiba gering. Sultan Ibrahim berkahwin dengan Raja Zarith Sofiah, puteri Sultan Perak, Sultan Idris Iskandar Al-Mutawakkil Alallahi Shah pada 1982.

Bercerita tentang pengalaman ini, Sultan Ibrahim memberitahu pada awalnya, Raja Zarith Sofiah tidak melayan panggilannya, sehingga baginda sendiri berasa malu.

Namun selepas enam bulan, baginda mencuba sekali lagi dan mengajak Raja Zarith Sofiah bercakap hingga empat jam, sehingga timbul keserasian kepada mereka.

Dan dalam satu majlis di istana, Raja Zarith Sofiah telah diundang.

Oleh kerana keakraban mereka berdua, Sultan Iskandar kemudian memanggil kedua-duanya dan bertanya tentang sejauh mana hubungan berlaku.

Sultan Iskandar kemudian mengarahkan Tunku Ibrahim untuk segera menghadap Sultan Perak, dan memberi masa dua minggu untuk kedua-duanya bernikah secara sah.

“Nikah gantung dan tidak boleh bersama selama setahun, kerana Raja Zarith Sofiah masih belajar di Amerika Syarikat,” cerita baginda lagi.

Hasil perkahwinan tersebut, baginda berdua dikurniakan lima orang putera dan seorang puteri. Berdasarkan pengalaman baginda memerintah Johor, pasti lima tahun yang kehadapan ini cukup menarik.

Kerana baginda tidak akan segan untuk menegur, ataupun mencadangkan sesuatu demi memastikan negeri dan negara yang diperintahnya kekal makmur.

Malah raja yang dikatakan paling kaya di Malaysia ini juga pasti ada idea sendiri yang mahu disuntik, setiap kali Perdana Menteri menghadap sebelum mesyuarat kabinet berlangsung.

Yang pasti, selepas kejayaan Al Sultan Abdullah, rakyat seluruh negara pasti teruja menunggu kehadiran kembara diraja Seri Paduka Yang diPertuan Agong baharu ini, kerana beliau yang memulakan tradisi ini terlebih dahulu di Johor.

Selepas menunggang motosikal, beliau memandu, bot trak dan kereta api untuk menyantuni rakyat di negeri itu.

Dan sudah pasti ia akan dipanjangkan ke seluruh negara dengan cara yang lain pula.

Daulat Tuanku!

• Rudi Affendi Khalik merupakan penulis, wartawan dan penerbit di syarikat penerbitan tv dan kandungan media di Sarawak.

LAIN-LAIN BERITA

Jaga adab di jalan raya

TIDAK kira hujan atau panas, kebanyakan lelaki lebih gemar menunggang motosikal untuk ke tempat bekerja. Walaupun terpaksa menggunakan baju hujan, motosikal tetap pilihan utama mencari

Kisah Prabowo panglima terbuang

BERDASARKAN hitung pantas, Prabowo Subianto sudah hampir pasti akan mengangkat sumpah sebagai Presiden Republik Indonesia ketujuh pada Oktober depan. Kiraan pantas dan tidak rasmi tersebut

Selidik pemungut derma

MENURUT pprm.dbp.gov. my derma ialah pemberian yang ikhlas berupa wang dan lain-lain kepada orang miskin; dan juga bantuan wang kapada kumpulan (yayasan dan lain-lain). Mudah

Kematian semakin dekat

KEMATIAN, sebagai satusatunya kepastian dalam kehidupan manusia, menghantui fikiran manusia sejak awal zaman.  Kehidupan pasti diakhiri dengan kematian sebagaimana firman Allah SWT dalam al-Quran surah

Presiden kelapan bulan sepuluh

KIRAAN cepat (quick count) sejumlah badan bebas berkaitan Pemilihan Presiden (Pilpres) Indonesia 2024 pada Sabtu, 17 Februari, menunjukkan pasangan PrabowoGibran unggul teratas. Mereka meraih 58.48

Bahaya bah betina

SEKALI air bah, sekali pantai berubah. Sekali banjir melanda, air masuk rumah, keseluruhan isi di dalam rumah berubah. Banjir suatu fenomena alam yang sentiasa melanda

BERITA TERBARU