KUCHING: Sebanyak RM10,000 disumbangkan kepada Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian (PKMB) Samarahan pada Program Sambutan Kamboh Eh Raya di Pusat Beli-Belah Plaza Merdeka bagi meraikan anak-anak yatim.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Sri Fatimah Abdullah berkata, program seperti ini amat bermakna kerana ia memberi ruang menyantuni golongan memerlukan, berkongsi rezeki dan memastikan mereka turut merasai kemeriahan Ramadan menjelang Syawal.
“Program sebegini bukan sahaja untuk Hari Raya tetapi juga tradisi Sarawak pada semua perayaan utama termasuk Tahun Baharu Cina dan Gawai Dayak.

“Ia bagi memastikan tiada mana-mana kumpulan masyarakat merasa terpinggir,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Sambutan Kamboh Eh Raya di Pusat Beli-Belah Plaza Merdeka di sini, hari ini.
Program ini membina ekosistem sosial yang positif, mengeratkan perpaduan, dan menyumbang kepada indeks kesejahteraan sosial masyarakat Sarawak yang tinggi.
“Justeru, saya menyeru sektor korporat dan swasta untuk turut sama melaksanakan tanggungjawab sosial mereka bagi memperkasa komuniti.
“Saya juga berharap dengan kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan masyarakat, Sarawak akan terus menjadi negeri yang aman, harmoni, inklusif dan penyayang sekali gus membawa kegembiraan kepada semua lapisan masyarakat menjelang Hari Raya Aidilfitri,”ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak Plaza Merdeka, khususnya Datuk Steve Ng dan Datin Anriza Wong Cordero atas kemurahan hati dan keprihatinan mereka menyantuni anak-anak yatim serta golongan asnaf.
“Hari ini, anak-anak yatim dan golongan asnaf berkesempatan berbuka puasa di hotel selain mendapat bantuan tambahan seperti pakaian dan barangan keperluan daripada penaja yang terlibat iaitu Plaza Merdeka, Babyshop dan Hotel Waterfront serta Wawa Playground,” katanya.



