ARTIKEL

Sumbangsih merentasi zaman

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MENJANGKAU usia 80 tahun membawa bersama pengalaman panjang dalam kehidupan dan kerjaya. Bagi Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, perjalanan itu merangkumi pengalaman dalam pasukan keselamatan, perundangan, politik dan pentadbiran Kerajaan Persekutuan sebelum diberikan amanah sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

Sepanjang hampir tiga tahun mengikuti dan membuat liputan pelbagai program rasmi beliau, dapat dilihat beberapa sisi Tun Wan Junaidi yang tidak semestinya dapat dirakam melalui lensa kamera atau dimasukkan dalam laporan berita.

Dalam tugasan kewartawanan, tumpuan biasa diberikan kepada acara, ucapan dan kenyataan. Namun, apabila seseorang pemimpin diikuti secara berterusan, ada perkara yang mula diperhatikan melalui rutin dan cara beliau menjalankan tanggungjawab.

Antaranya ialah cara Tun Wan Junaidi menghargai masa, disiplin dan ketelitian. Beliau memberikan perhatian kepada perkara yang mungkin dianggap kecil, tetapi mempunyai kepentingan tersendiri.

Beliau juga gemar membaca, meneliti serta mendapatkan maklumat sebelum memberikan pandangan, terutama apabila perkara yang dibincangkan berkaitan kepentingan Sarawak, keharmonian masyarakat dan masa depan generasi akan datang.

Pengalaman panjang dalam perkhidmatan awam dan politik turut membentuk cara beliau melihat sesuatu isu bukan hanya pada keadaan semasa, tetapi juga kesannya dalam jangka panjang.

Antara perkara yang paling meninggalkan kesan ialah cara Tun Wan Junaidi berinteraksi dengan rakyat. Sama ada pada majlis rasmi atau suasana santai, beliau tidak keberatan berhenti apabila ada rakyat ingin bersalaman, berbual atau bergambar.

Adakalanya interaksi itu singkat, namun perkara kecil seperti itu memberi gambaran pendekatan beliau terhadap masyarakat. Penghormatan terhadap pemimpin bukan hanya bergantung kepada jawatan, tetapi juga cara beliau menghargai orang yang ditemuinya.

Di sisi Tun Wan Junaidi ialah Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi yang sentiasa mendampingi beliau dalam pelbagai majlis, program dan perjalanan rasmi.

Toh Puan Fauziah bukan sahaja hadir sebagai pasangan kepada ketua negeri, malah teman kehidupan yang bersama-sama melalui perjalanan berkeluarga, kerjaya dan perkhidmatan kepada negara sehingga kini kedua-duanya menggalas tanggungjawab di Astana Negeri Sarawak.

Toh Puan Fauziah melengkapi peranan beliau melalui pendekatan mesra, sederhana dan mudah didekati. Dalam pertemuan bersama rakyat, khususnya wanita, kanak-kanak dan warga emas, kemarahan serta keprihatinannya membantu mewujudkan suasana lebih dekat dan selesa.

Kedua-duanya, dengan pendekatan tersendiri, memainkan peranan membawa institusi Astana Negeri Sarawak lebih dekat kepada rakyat. Pada usia 80 tahun, perjalanan Tun Wan Junaidi merentasi pelbagai zaman dan perubahan.

Pengalaman dalam pasukan keselamatan memberi latar disiplin dan ketahanan, bidang perundangan membina asas pemahaman terhadap undang-undang dan pentadbiran, manakala pengalaman politik serta Kerajaan Persekutuan memperluas pemahaman beliau terhadap sistem pemerintahan dan kepentingan negeri.

Kesemua pengalaman itu menjadi sebahagian daripada perjalanan panjang sebelum beliau mengambil tanggungjawab sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

Bagi mereka yang berkesempatan berada dekat dalam lingkungan tugas beliau, pengalaman mengikuti Tun Wan Junaidi turut menjadi proses pembelajaran bermakna. Kepimpinan bukan semata-mata tentang berada di hadapan, tetapi turut melibatkan disiplin, persediaan, kesediaan mendengar serta keupayaan memahami besarnya tanggungjawab yang dipikul.

Setiap ucapan, kunjungan dan pertemuan membawa tanggungjawab memastikan institusi yang diwakili terus dihormati, diyakini dan dekat di hati rakyat. Tugas itu bukan hanya berkaitan protokol, tetapi turut melibatkan cara institusi tersebut berinteraksi dengan masyarakat.

Kini, ketika Tun Wan Junaidi melangkah ke usia 80 tahun, sudah banyak yang beliau lalui dan saksikan. Zaman berubah, generasi silir berganti dan cabaran terus berkembang.

Dalam masa yang sama, kepentingan Sarawak, perpaduan masyarakat serta masa depan generasi seterusnya terus menjadi perkara yang perlu diberikan perhatian.

Masa depan Sarawak dan Malaysia perlu terus dibina berlandaskan perpaduan, ilmu, integriti serta keberanian untuk melakukan yang terbaik demi generasi akan datang.

Sempena ulang tahun kelahiran beliau yang ke-80, didoakan agar Tun Wan Junaidi sentiasa dikurniakan kesihatan, kekuatan dan kebijaksanaan untuk terus menaungi rakyat Sarawak serta melaksanakan amanah yang diberikan kepadanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Langgur ngemanah ICQS Biawak agi dipansik

KUCHING: Langgur ngemanahka Kompleks Imigresyen, Kastam, Kuarantin enggau Pengelikun (ICQS) Biawak agi dipansik nengah ‘feasibility study’ Pelin Besai Pemansang Kandang Menua Sarawak. Menteri Dagang Temuai,