Suntikan vaksin langkah terbaik

DI sebalik kelegaan apabila sudah memperoleh vaksin Covid-19, timbul pelbagai spekulasi mengenainya yang akhirnya menyebabkan kekeliruan dan dilema kepada masyarakat, sama ada perlu atau tidak untuk mendapatkan suntikan vaksin ini.

Jika sebelum ini ada yang mengatakan vaksin sama ada PfizerBioNtech dan Moderna memberi kesan sampingan.

Terbaharu, timbul pula pertikaian yang mengaitkan vaksin sinovac untuk rakyat kelas bawahan dan Pfizer untuk VVIP.

Seperti menurut Kesihatan Awam Malaysia, mengatakan ada dua darjat vaksin adalah tidak betul sama sekali.

Menjawab pertikaian ini dalam bentuk analogi, ia menggunakan Tesla dan Bentley sebagai contoh. Tesla adalah kereta elektrik, Bentley pula adalah kereta yang menggunakan petrol namun kedua-duanya mempunyai agenda yang sama iaitu selamat dan sampai ke destinasi yang dituju.

Untuk katakan sinovac itu produk murahan juga salah, memandangkan semua sedia maklum, pembelian vaksin akan menerusi pharmaniaga secara pukal, dan akan dipakejkan di dalam negara.

Maka itu, pastinya kos akan jadi lebih murah.

Malah, Pegawai Perubatan Columbia Asia Hospital Cheras, Dr Malar Santhi Santherasegapan juga dilaporkan berkata vaksin Sinovac keluaran China adalah berkesan dalam mencegah jangkitan Covid-19 sama seperti vaksin jenis Pfizer-BioNTech.

Ia berdasarkan ujian klinikal yang dijalankan di Brazil dan Turki mendapati tahap keberkesanan vaksin Sinovac masing-masing negara adalah 50.4 peratus dan 91.2 peratus.

Justeru, apa sahaja spekulasi yang timbul ini diharap tidak terus menghantui masyarakat untuk mendapatkan suntikan vaksin, baik jenis Pfizer, Sinovac, Astrazeneca atau Moderna.

Kita amat memerlukan vaksin dan perlu diberikan kepada sekitar 80 peratus penduduk di Malaysia secepat mungkin.

Ini sebab kita sudah ketinggalan dengan negara lain dan perlu membuka sektor ekonomi secepat mungkin.

Yang lebih penting, terdapat empat lagi vaksin yang sedang berusaha untuk mendapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Maka, adalah lebih baik kita percayakan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), yang merupakan agensi kawalan ubat paling ketat di dunia.

Bukan mudah untuk membawa vaksin dan digunakan dalam negara.

Jika akan datang, kelulusan diberikan kepada vaksin tertentu, percayalah ia selamat dan berkesan untuk pandemik ini.

Yang pasti, buat masa ini, suntikan vaksin merupakan langkah terbaik untuk memenangi wabak Covid-19.

Suara Sarawak