BAU: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bau menyumbangkan perabot rumah kepada sebuah keluarga bagi membantu menambah baik keselesaan kediaman serta memudahkan urusan harian mereka.
Pengerusinya, Chong Yie Loong, berkata sumbangan itu susulan kunjungan awal beliau bersama-sama pasukan cawangan berkenaan untuk mendekati keluarga terbabit, mendengar perkongsian kehidupan seharian serta mengenal pasti keperluan mereka.
Beliau berkata, hasil kunjungan tersebut, pihaknya menyampaikan sumbangan berupa meja makan, kerusi, almari pakaian dan rak penyimpanan bagi membantu menyediakan ruang makan serta tempat penyimpanan barangan rumah yang lebih teratur.

Menurutnya, khidmat masyarakat di peringkat akar umbi bukan sekadar mengadakan kunjungan dan bertanya khabar, tetapi turut memerlukan usaha memahami keadaan sebenar penduduk serta mengambil tindakan bersesuaian dengan keperluan mereka.
“Setiap keluarga mempunyai keadaan dan keperluan berbeza.
Oleh itu, pendekatan turun padang membolehkan kita memahami situasi mereka dengan lebih dekat dan mengenal pasti bantuan yang praktikal,” katanya.
Chong berkata, usaha membantu masyarakat, sama ada melalui sumbangan barangan keperluan asas mahupun perabot rumah, bertujuan meringankan keperluan harian keluarga yang menerima bantuan.
Sehubungan itu, SUPP Cawangan Bau akan terus melaksanakan aktiviti turun padang bagi mendengar suara penduduk, memahami keperluan komuniti dan menghulurkan bantuan bersesuaian.






