Selepas lebih 25 tahun mengabdikan diri dalam industri muzik tanah air, bekas vokalis utama kumpulan rock Kamikaze, T-Rex, akhirnya berjaya merealisasikan impian yang telah lama dipendam.Langkah itu diterjemahkan menerusi pelancaran single terbaharu beliau berjudul Anak Borneo.
Karya tersebut bukan sekadar naskhah muzik biasa, malah menjadi projek paling dekat dengan lubuk hati beliau.
Dalam masa yang sama, lagu itu berfungsi sebagai penghormatan atau “surat cinta” untuk tanah kelahirannya, Sarawak, serta seluruh wilayah Borneo.
Sepanjang perjalanan seni yang bermula sejak awal 2000-an, pemilik nama sebenar Terence Law ini melalui pelbagai fasa dan cabaran dalam dunia muzik tempatan.
Bermula daripada zaman kegemilangan bersama-sama Kamikaze yang menyaksikan kumpulan itu merangkul trofi Album Rock Terbaik pada Anugerah Industri Muzik (AIM) 2001, beliau kemudian terbabit dalam pelbagai projek solo yang merentasi sempadan budaya.
Sejak memulakan perjalanan sebagai artis solo, T-Rex terus aktif menghasilkan karya baharu, termasuk EP T-Rex Kembali Menyala, lagu Tahun Baharu Cina Rock in the Horse Year dan lagu Memori Hari Raya.
Siri karya tersebut memperlihatkan kesungguhan beliau untuk terus berkarya dalam pelbagai genre sebelum akhirnya melahirkan Anak Borneo, sebuah projek yang paling dekat di hatinya.
Bagaimanapun, penyanyi rock bukan Melayu yang berjaya mencipta nama dalam arena rock Melayu itu mengakui bahawa Anak Borneo membawa makna yang jauh lebih mendalam dan peribadi berbanding karya terdahulunya.
Dilahirkan di Kuching, dan memiliki darah campuran Cina serta peribumi tempatan, T-Rex membesar dalam persekitaran yang kaya dengan keunikan budaya, tradisi dan warisan masyarakat Borneo.
Pengalaman itulah yang menjadi inspirasi utama serta tunjang pembentukan identiti dan perjalanan kreatifnya sebagai anak seni hingga hari ini.
“Sepanjang kerjaya, saya sentiasa menyimpan hasrat untuk menghasilkan sebuah lagu yang benar-benar menggambarkan tanah asal saya.
“Saya mahu ada sebuah lagu yang apabila orang mendengarnya, mereka akan terus teringat kepada Borneo, budaya kita dan kampung halaman yang sentiasa dekat di hati,” kata T-Rex ketika mengulas dorongan utama di sebalik penghasilan lagu tersebut.
Menurut T-Rex, judul Anak Borneo dipilih kerana mewakili semua masyarakat yang lahir, membesar atau mempunyai pertalian dengan bumi Borneo tanpa mengira kaum dan agama.
Bagi beliau, istilah tersebut melambangkan semangat kekitaan yang menjadi kekuatan sebenar masyarakat di Sarawak dan Sabah.
Inspirasi penghasilan lagu Anak Borneo tercetus daripada memori silam beliau terhadap keindahan hutan hujan tropika, aliran sungai yang jernih sebagai nadi kehidupan masyarakat setempat serta kehangatan budaya rumah panjang.
Elemen tersebut digabungkan dengan kisah kehidupan masyarakat peribumi dan semangat perpaduan utuh yang menjadi identiti unik Borneo.
Melalui bait-bait liriknya, T-Rex cuba membawa kisah seorang perantau yang sentiasa terikat dengan tanah asal dan tidak sesekali melupakan akar budaya, walau sejauh mana kaki melangkah merantau.
Dalam usaha menterjemahkan visi besar itu, T-Rex sekali lagi menjalin kerjasama erat dengan penerbit muzik, komposer dan penulis lirik terkenal, Melissa Ng.
Selepas kejayaan beberapa projek terdahulu, termasuk EP peribadi T-Rex, gandingan mantap dua penggiat seni ini kembali bersatu bagi memastikan roh dan semangat Borneo dapat dihidupkan dengan sempurna menerusi lagu tersebut.
Peranan Melissa dalam projek ini amat signifikan kerana beliau bertindak sebagai pencipta lagu, penulis lirik, penerbit muzik serta peneraju konsep kreatif secara keseluruhan.
“Saya sangat menghargai bakat Melissa. Beliau bukan sahaja menulis lirik dan mencipta melodi, malah turut bertanggungjawab terhadap keseluruhan konsep kreatif projek ini.
“Daripada idea asal, mesej lagu, produksi muzik sehinggalah konsep video muzik, semuanya dirancang dan digarap dengan penuh teliti. Bagi saya, beliau seorang wanita yang sangat berbakat dalam bidang kreatif,” kata T-Rex mengenai rakan kolaborasinya itu.
T-Rex turut menambah, elemen warisan yang diterapkan dalam projek itu termasuk identiti visual, konsep persembahan serta penggunaan busana etnik tradisional, lahir daripada perancangan kreatif Melissa sejak peringkat awal.
Keupayaan Melissa melihat sesebuah karya secara menyeluruh, bukan sekadar sebagai lagu, tetapi sebagai cerita yang mempunyai jiwa tersendiri, berjaya membentuk karya moden yang masih mengekalkan nilai komersial tanpa mengetepikan mesej budaya yang kuat.
Selain kekuatan melodi dan lirik, video muzik rasmi Anak Borneo turut memainkan peranan penting dalam menyampaikan mesej visual karya tersebut.
Walaupun proses penggambaran dijalankan di beberapa lokasi alam semula jadi sekitar Selangor atas faktor logistik, kebijaksanaan pasukan produksi mewujudkan suasana visual yang tepat berjaya membawa penonton menyelami keindahan geografi Borneo yang sebenar.
Kehadiran pelakon yang mengenakan busana etnik tradisional dalam video muzik tersebut turut menjadi simbol kepelbagaian warisan masyarakat peribumi.
Sejak dilancarkan secara rasmi, Anak Borneo menerima pelbagai maklum balas positif pendengar di seluruh negara, khususnya peminat di Sarawak dan Sabah.
Rata-rata pendengar menyifatkan lagu tersebut sebagai karya yang dekat di hati kerana berjaya membangkitkan rasa bangga terhadap identiti serta kecintaan mendalam kepada tanah tumpah darah.
Bagi T-Rex sendiri, penerimaan dan sokongan masyarakat merupakan hadiah paling bermakna dalam kembara seninya yang menjangkau lebih dua dekad.
“Walau sejauh mana saya pergi, Sarawak akan sentiasa menjadi rumah saya. Saya berharap Anak Borneo dapat terus mengingatkan kita tentang asal usul, budaya dan kebanggaan menjadi anak Borneo.
“Lagu ini saya dedikasikan kepada semua rakyat Sarawak dan Sabah yang sentiasa membawa semangat Borneo ke mana-mana sahaja mereka berada,” ujar T-Rex menutup bicara dengan penuh emosi.
Kini, single terbaharu Anak Borneo yang sarat dengan elemen nostalgia dan rasa cinta terhadap tanah air boleh didengari di semua platform penstriman digital utama, manakala video muzik rasminya juga boleh ditonton menerusi saluran YouTube rasmi T-Rex.



