Ketaatan kepada pemimpin merupakan salah satu prinsip penting dalam Islam yang bertujuan menjaga kestabilan masyarakat, memelihara keharmonian serta memastikan urusan kehidupan berjalan dengan teratur. Islam tidak mengajar kebebasan tanpa batas.
Sebaliknya, Islam menetapkan garis panduan yang jelas dalam hubungan antara rakyat dengan pemimpin. Ketaatan ini bukan sekadar adat atau budaya, bahkan merupakan tuntutan agama yang bersandarkan dalil daripada al-Quran dan hadis.
Ketaatan kepada pemimpin merupakan suatu kewajipan yang perlu dipatuhi selagi pemimpin tersebut tidak memerintahkan perkara yang bercanggah dengan syariat atau melakukan kemaksiatan.
Apatah lagi jika pemimpin tersebut beriman kepada Allah SWT dan berusaha memakmurkan Islam di bawah pemerintahannya.
Sebagai rakyat, kita sewajarnya bersyukur atas nikmat keamanan dan kesejahteraan yang dikecapi serta berusaha memelihara keamanan dan kedamaian yang dinikmati.
Tuntutan agama
Islam meletakkan ketaatan kepada pemimpin sebagai satu kewajipan selagi pemimpin tersebut tidak memerintahkan perkara maksiat.
Hal ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT: “Wahai orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah, taatlah kamu kepada Rasul dan kepada ulil amri (pemimpin) dalam kalangan kamu.” (Surah al-Nisa’, ayat 59)
Ayat ini menunjukkan ketaatan kepada pemimpin berada dalam kerangka ketaatan kepada Allah SWT dan Rasul-Nya.
Namun demikian, para ulama menegaskan ketaatan kepada pemimpin adalah bersyarat, iaitu tidak melibatkan perkara yang bertentangan dengan syariat.
Rasulullah SAW juga bersabda: “Wajib atas seorang Muslim mendengar dan taat (kepada pemimpin) dalam perkara yang disukai atau dibencinya, selagi dia tidak diperintahkan melakukan maksiat.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis ini menegaskan ketaatan bukan berdasarkan keselesaan atau kepuasan peribadi, sebaliknya merupakan satu bentuk disiplin dalam kehidupan beragama.
Bahkan, Islam melarang keras perbuatan memberontak atau mencetuskan huru-hara kerana tindakan tersebut boleh membawa kerosakan yang lebih besar kepada masyarakat.
MEMBAWA KEBERKATAN
Ketaatan kepada pemimpin yang adil serta memerintah berlandaskan hukum Allah SWT akan membawa keberkatan dalam kehidupan masyarakat.
Apabila rakyat menghormati pemimpin dan pemimpin pula berlaku adil, akan wujud suasana yang aman, harmoni serta mendapat keberkatan daripada Allah SWT.
Keberkatan merupakan suatu kelebihan dan kurniaan daripada Allah SWT kepada hamba-Nya.
Namun demikian, keberkatan tidak hanya terbatas pada amalan ibadah seperti solat, zikir dan sebagainya, malah turut merangkumi seluruh aspek kehidupan.
Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik pemimpin kamu ialah mereka yang kamu cintai dan mereka mencintai kamu, kamu mendoakan mereka dan mereka mendoakan kamu.” (Hadis riwayat Muslim)
Hadis ini menggambarkan hubungan harmoni antara pemimpin dengan rakyat yang menjadi antara sebab turunnya rahmat dan keberkatan.
Apabila hubungan ini rosak akibat kebencian, hasutan dan fitnah, keberkatan juga boleh terhakis.
Selain itu, ketaatan kepada pemimpin juga dapat mengelakkan perpecahan. Islam amat menitikberatkan perpaduan umat.
Allah SWT berfirman: “Dan berpegang teguhlah kamu semuanya pada tali Allah dan janganlah kamu berpecah-belah.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 103)
Perpecahan boleh berpunca daripada keingkaran terhadap pemimpin dan sikap tidak menghormati autoriti yang sah.
Oleh itu, ketaatan yang berlandaskan syariat menjadi antara kunci kepada perpaduan, sekali gus membawa keberkatan dalam kehidupan bermasyarakat.
Ketaatan kepada pemimpin dalam Islam bukanlah ketaatan secara membuta tuli, sebaliknya ketaatan yang berpandukan syariat.
Ketaatan ini merupakan tuntutan agama yang bertujuan menjaga kestabilan dan keharmonian masyarakat.
Apabila rakyat taat dan pemimpin berlaku adil, lahirlah sebuah masyarakat yang aman serta diberkati Allah SWT.
Oleh itu, setiap Muslim hendaklah memahami konsep ini dengan betul agar tidak terjerumus dalam sikap melampau, sama ada terlalu taksub mahupun menentang tanpa asas yang benar.



