TINGGAL tiga hari lagi kita akan melangkah ke tahun 2024. Tidak terasa setahun telah berlalu dan banyak hal yang berlaku sepanjang tahun ini. Saya sendiri berasakan tahun 2023 sebagai tahun yang unik, bermakna dan memberi banyak kenangan yang indah.
Seperti tahun-tahun sebelum ini, pada penghujung tahun saya menyimpan azam baru untuk dijadikan teladan melangkah ke tahun hadapan.
Tetapi sebelum itu, saya ingin mengimbau detikdetik manis yang sukar saya gambarkan dengan kata-kata. Sejak bergelar sebagai wartawan atau lebih popular dipanggil sebagai pemberita dalam bahasa Iban, saya akui ia antara momen indah bagi saya.
Kini di media sosial, saya sering di ‘tag’ oleh pengguna media sosial seperti Facebook sekiranya ada berita-berita baharu.
Mereka seperti sudah sedia maklum bahawa saya harus tahu akan isu-isu semasa dan hal yang terjadi di negara atau negeri kita.
Tidak kurang juga mereka yang bertanya dan menjemput saya untuk membuat liputan program yang diadakan.
Sepanjang tahun 2023, walaupun sibuk dengan aktiviti lain dan tugasan, saya amat bersyukur kerana sering dijemput untuk membuat liputan program yang berkaitan dengan perkembangan bahasa Iban.
Contohnya, Bengkel Ngelatika Jaku Iban yang diadakan pada Mac lalu. Bengkel ini memberi input berguna kepada saya untuk mengembangkan penguasaan bahasa Iban sebagai seorang pengamal media.
Bagi peristiwa peribadi pula, saya berasa amat sedih apabila datuk suami meninggalkan kami seminggu sebelum masyarakat Iban menyambut Hari Gawai.
Ia hari duka bagi kami sekeluarga kerana kehilangan seorang insan yang amat kami sayangi.
Namun, hidup harus diteruskan seperti biasa dan segala kenangan bersamasama datuk akan kami simpan sebagai pengalaman yang indah.
November lalu juga merupakan memori indah bagi saya apabila menjadi salah seorang penerima Anugerah Kewartawanan Kenyalang (KJA) 2023 untuk empat kategori dan membawa pulang dua emas, satu perak dan satu gangsa.
Memang tidak saya duga bakal mendapat dua emas pada tahun ini kerana sasaran saya sebenarnya satu emas.
Tetapi saya juga ada sedikit terkilan kerana pada tahun ini saya mendapat gangsa berbanding tahun lepas saya mendapat perak untuk semua empat kategori.
Walaupun begitu, saya masih bersyukur kerana mampu sampai ke tahap ini dan membanggakan Suara Sarawak.
Sudah tentu saya akan membuat yang lebih baik pada tahun hadapan.
Secara keseluruhan, untuk tahun ini saya sangat gembira dan bersyukur kerana diberikan oleh Tuhan rezeki yang baik. Saya berazam supaya pada tahun hadapan kehidupan ini lebih baik dan semakin baik daripada tahun ini.
Selain itu, saya berdoa semoga diberikan kesihatan yang baik dan bahagia.
Saya mempunyai tiga azam utama pada tahun hadapan dalam kerjaya sebagai seorang wartawan bahasa Iban. Yang pertama saya ingin memperluaskan penulisan rencana dan berita dalam bahasa Iban kepada setiap bahagian yang ada di Sarawak.
Umum tahu bahawa penulisan saya tertumpu kepada kawasan Kuching, Serian dan kawasan yang berhampiran sahaja oleh kerana had sumber yang saya dapat.
Oleh itu, pada tahun hadapan saya akan cuba mencari sumber yang lebih jauh seperti dari Sibu, Miri dan Kapit.
Kedua saya ingin mengeluarkan lebih banyak berita atau isu yang jarang didengar oleh masyarakat Iban seperti isu penjanaan ekonomi dari luar bandar, pertanian pintar, penanaman hidroponik dan sebagainya.
Manakala ketiga, saya ingin menulis lebih banyak aktiviti dan program persatuan adat asal yang ada di Sarawak supaya generasi muda lebih mengenali mereka.
Ini kerana sejak saya menulis beberapa siri aktiviti persatuan di Kuching, lebih ramai anak-anak muda ingin belajar dan mencari persatuan tersebut.
Oleh itu, saya rasa adalah lebih baik sekiranya aktiviti ini ditulis dengan lebih kerap.
Selamat Tahun Baharu kepada semua rakyat Sarawak dan Malaysia.
Semoga tahun depan memberi lebih banyak rahmat dan keberkatan kepada kita semua.



