ARTIKEL

Taktik sorok dadah dalam bungkusan makanan terbongkar 

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Polis berjaya membongkar taktik sindiket pengedaran dadah jenis syabu dan ketamin yang dianggarkan bernilai RM371,286 yang disimpan dalam bungkusan makanan. 

Dadah berkenaan dirampas sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak susulan penangkapan seorang lelaki berumur 39 tahun dan seorang wanita berumur 31 tahun di tepi jalan berhadapan balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) kira-kira jam 11.35 malam, Sabtu lalu.

RAMPAS…. Dadah jenis syabu (10.301 kilogram) dan ketamin 2.7 gram disimpan dalam bungkusan makanan, dirampas daripada dua orang suspek di tepi jalan berhadapan balai ketibaan LTAK pada Sabtu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, tangkapan dibuat hasil risikan dijalankan oleh JSJN Sarawak selama tiga bulan.

Katanya, dadah syabu yang dirampas seberat 10.301 kilogram sementara dadah ketamin seberat 2.7 gram.

“Modus operandi suspek ini mendapatkan bekalan dadah dari ahli sindiket di Semenanjung Malaysia.

“Dadah dibungkus dalam kotak makanan dan dimasukkan ke dalam kotak tisu sebelum didaftarkan masuk untuk penerbangan dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur (LTK) ke Kuching,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini hari ini.

Tambahnya, dadah tersebut adalah untuk pasaran sekitar Kuching dan daerah-daerah berhampiran.

Selain itu, katanya, sebuah kereta Perodua Viva bernilai RM15,000 dan wang tunai berjumlah RM1,382 turut disita untuk siasatan di bawah Seksyen 25 Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1998.

Susulan penangkapan kedua-dua suspek, Azman berkata, dua lagi ahli sindiket berumur antara 32 dan 35 tahun turut ditangkap JSJN Selangor di sebuah hotel di Puchong pada Ahad, kira-kira jam 2 pagi.

Katanya, pemeriksaan terhadap kedua-dua suspek di Kuching yang juga penggangur didapati positif methamphetamine dan mempunyai rekod berkaitan dadah dan jenayah.

“Kedua-dua mereka ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bermula hari ini hingga 28 Mei,” ujarnya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau pemenjaraan seumur hidup.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU