Pertama kali menjejakkan kaki ke Taman Awam Miri, penulis seakan-akan terlupa bahawa diri berada di tengah kesibukan bandar raya.
Suasana tenang, udara segar dan kehijauan landskapnya bagaikan sebuah “permata hijau” yang menyambut mesra sesiapa sahaja yang melangkah masuk.
Terletak strategik di Jalan Melayu, Taman Awam Miri atau lebih dikenali sebagai Miri City Park merupakan antara taman awam tertua di bandar ini.
Dengan keluasan lebih 10 hektar, ia bukan sekadar lokasi rekreasi, malah menjadi tumpuan utama penduduk tempatan serta pelancong dari dalam dan luar negara.
Seiring pembangunan pesat Miri, taman ini telah melalui beberapa fasa naik taraf yang menjadikannya semakin moden dan selesa, di samping berperanan sebagai “paru-paru hijau” bandar.

Lokasi Strategik
Kedudukannya amat mudah dicapai sama ada menggunakan kenderaan persendirian, pengangkutan awam mahupun berjalan kaki dari pusat bandar.
Taman Awam Miri berada dalam kawasan segi tiga emas bandar ini — berhadapan Majlis Bandaraya Miri (MBM), bersebelahan Hospital Miri, berhampiran kawasan komersial Jalan Bendahara, serta hanya beberapa minit dari pusat bandar utama.


Kemudahan Lengkap
Antara kemudahan yang tersedia termasuklah jejak kecergasan sepanjang 2.2 kilometer, kolam air pancut dengan jambatan kayu ikonik, taman permainan kanak-kanak moden, gazebo, pondok rehat, serta stesen senaman luar.
Bagi pengunjung yang gemar aktiviti rekreasi, taman ini turut menawarkan ruang untuk berjoging, berkelah, beriadah bersama keluarga, bahkan memancing di kawasan kolam dengan kebenaran.
Suasana landskap hijau turut menjadikannya lokasi pilihan jurugambar dan pelancong untuk merakam kenangan indah.
Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang, ketika mengulas usaha penambahbaikan berkata, MBM telah memperuntukkan RM500,000 bagi memastikan taman ini kembali selamat dan menarik untuk dinikmati masyarakat.

Kemudahan Berdekatan
Pengunjung juga tidak perlu gusar kerana lokasi taman berhampiran dengan pelbagai kemudahan penting termasuk pusat beli-belah Mydin, Masjid At-Taqwa, hotel bertaraf antarabangsa, serta deretan restoran tempatan dan antarabangsa.

Mesra Pelancong

Taman Awam Miri dibuka 24 jam sehari, namun waktu terbaik untuk berkunjung ialah pada awal pagi antara jam 6.00 hingga 10.00 atau pada lewat petang sekitar jam 4.00 hingga 7.00 malam.
Kemudahan mesra pelancong turut disediakan seperti tandas awam yang bersih, kawasan mesra Orang Kurang Upaya (OKU), papan tanda informasi, serta tempat letak kereta percuma.
Antara tip yang disarankan kepada pengunjung ialah membawa air minuman, memakai kasut selesa, serta tidak melepaskan peluang bergambar di jambatan kayu ikoniknya.
Dalam kenyataan rasmi MBM semasa pembukaan semula jambatan gantung yang dipertingkatkan pada Mac lalu, pihak majlis menegaskan bahawa mercu tanda yang diperbaharui ini meningkatkan aksesibiliti taman, sekali gus memberi peluang kepada pengunjung untuk menikmati keindahan alam sekitarnya dengan lebih menyeluruh serta menarik.


Simbol Keharmonian
Taman Awam Miri bukan sekadar sebuah taman rekreasi biasa, tetapi simbol keseimbangan antara pembangunan bandar dengan pemeliharaan alam sekitar.
Ia menjadi bukti bahawa sebuah bandar pesat membangun masih mampu mengekalkan ruang hijau untuk dinikmati bersama.
Bagi mereka yang berkunjung ke Miri, taman ini merupakan destinasi wajib singgah bagi merasai ketenangan dan keindahan yang ditawarkan.






