KUCHING: Pemerkasaan infrastruktur kemudahan rekreasi dan sukan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kawah akan menggalakkan amalan gaya hidup sihat serta menyediakan ruang riadah yang lebih berkualiti kepada penduduk.
Timbalan Premier merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawah, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, berkata selain 10 taman kejiranan yang sedang dalam pembinaan, sebuah taman rekreasi komuniti baharu turut akan dibangunkan di kawasan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batu Kawa, Jalan Field Force bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin bertambah.
“Majlis Perbandaran Padawan (MPP) kini sedang memuktamadkan dokumentasi serta prosedur berkaitan projek pembinaan taman rekreasi komuniti tersebut.
“Projek ini melibatkan peruntukan siling sebanyak RM900,000 dan dijangka dibuka untuk tender awam dalam masa terdekat,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Jelasnya lagi, sambutan menggalakkan terhadap Taman Tebingan Sungai Batu Kawa sejak siap dibangunkan membuktikan kepentingan penyediaan taman awam serta permintaan tinggi masyarakat terhadap kemudahan rekreasi.
“Walaupun Taman Tebingan Sungai Batu Kawa menyediakan pelbagai kemudahan rekreasi untuk semua peringkat umur, kita juga perlu membangunkan kemudahan komuniti yang terletak berhampiran kawasan perumahan.
“Penambahbaikan prasarana ini adalah supaya penduduk dapat menikmati ruang riadah hanya beberapa langkah dari kediaman mereka,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr Sim juga memaklumkan sebanyak 10 projek taman kejiranan yang diluluskan di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Kerajaan Sarawak sedang dilaksanakan dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM3.82 juta.
“Projek yang bermula pada April lalu dijangka siap sepenuhnya menjelang Februari tahun hadapan dengan MPP bertindak sebagai agensi pelaksana.
“Ia merangkumi pembinaan taman baharu selain kerja-kerja menaik taraf dan penyelenggaraan kemudahan sedia ada yang kini berjalan mengikut jadual,” tambahnya.
Beliau berkata antara kawasan yang terlibat ialah Taman Genesis, Taman Moyan, Taman Highfield, Taman Desa Wira, Jalan Carina Estate, Jalan Batu Kawa Lorong 3, Taman Phoenix Batu Kawa, Jalan RPR Batu Kawa, Taman San Chin dan Taman Vision Land.
Pada masa yang sama, Dr Sim turut memaklumkan projek Fasa 2 pemulihan semula kuari terbiar Ang Cheng Ho di Batu Kawa kini bersedia untuk proses tender oleh MPP dengan peruntukan siling RM8 juta daripada Kerajaan Sarawak.
“Projek ini merupakan sebahagian daripada pembangunan keseluruhan kawasan seluas kira-kira 70 ekar yang akan merangkumi Blue Park seluas lebih 20 ekar bagi aktiviti sukan air.
“Pelaksanaan ini juga merangkumi Green Park seluas lebih 40 ekar yang menampilkan hutan bandar berlandskap bersama pelbagai kemudahan rekreasi di sekitar Dewan Serbaguna Ang Cheng Ho yang telah siap dibangunkan pada Fasa 1,” ujarnya.
Tambahnya, Kerajaan Sarawak akan terus melabur dalam pembangunan infrastruktur komuniti yang mampu meningkatkan kualiti hidup rakyat, menggalakkan budaya hidup sihat serta menyokong pembangunan Batu Kawah sebagai kawasan yang mampan, kondusif dan berdaya huni.


