TAMAN TEMA TERTUTUP SKYTROPOLIS menjadi destinasi terbaik untuk keluarga berhibur di Pahang.
Sama ada dewasa atau kanak-kanak taman tema ini menyediakan lebih 20 permainan menarik sebagai pilihan.
Berkeluasan lebih 400,000 kaki per segi dan setinggi empat tingkat, Taman Tema Tertutup Skytropolis sangat besar untuk taman tema tertutup.
Terletak di Aras 1 First World Plaza di tengah-tengah Resorts World Genting, Skytropolis menarik ribuan pengunjung yang mencari keseronokan sepanjang hari.
PAKEJ CUTI
Taman Tema Tertutup Skytropolis salah satu daripada banyak taman tema di Resorts World Genting.
Taman tema ini menawarkan pakej percutian dan hiburan yang lengkap dengan hotel, pusat beli-belah, hiburan malam, restoran dan banyak lagi.
Terdapat tiga kategori permainan yang popular di taman tema ini iaitu permainan untuk seisi keluarga, permainan mencabar dan permainan pengembaraan.
Antara permainan untuk seisi keluarga ialah Jumping Spurs – menara lompat mini dikhaskan untuk kanak-kanak, namun pengawasan ibu bapa diperlukan pada setiap masa.
Tinggi pengunjung mestilah antara 92 hingga 122sm untuk menunggang.
Selain itu, permainan Tea Cups – cawan teh bersaiz besar mesra keluarga dengan pelbagai gerakan berputar untuk pengunjung berketinggian lebih 105sm sahaja.
Kanak-kanak yang tingginya antara 105 hingga 130sm harus ditemani oleh individu yang berumur 16 tahun ke atas.
Untuk permainan yang mencabar pula, antara permainannya adalah seperti Super Glider dan Spin Crazy.
Namun, pengunjung bawah ketinggian 130sm atau melebihi 195sm tidak dibenarkan menunggang.
Kategori permainan yang terakhir ialah permainan yang bertemakan pengembaraan, antaranya Royal Carousel dan Bumper Boss.



