KUCHING: Majlis Daerah Simunjan perlu ditambah dengan perkhidmatan jurutera berkelayakan dalam bidang kejuruteraan awam, geoteknik, pengurusan risiko bencana serta mahir dalam pemantauan infrastruktur semasa.
ADUN Simunjan, Awla Dris berkata, kekurangan kepakaran tersebut menyebabkan banyak isu berkaitan perlu dirujuk ke luar atau mengambil masa lama untuk diselesaikan.
“Hal ini menjejaskan kecekapan pentadbiran dan keselamatan penduduk.
“Penambahan jurutera penting bukan sahaja untuk menyelesaikan masalah sedia ada tetapi untuk memastikan Majlis bertindak lebih proaktif.
“Justeru, saya memohon agar kerajaan meluluskan penambahan jawatan jurutera di Majlis Daerah Simunjan sebagai langkah segera dan jangka panjang untuk memperkukuh keupayaan teknikal daerah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026) 2025 semasa persidangan DUN Sarawak Ke-19, di sini, hari ini.
Jelas beliau, pertambahan itu dijangka akan melonjakkan pemacuan pembangunan daerah serta memastikan keselamatan penduduk secara lebih efisien.
Beliau pada masa sama, beliau yakin ia akan memberi manfaat besar kepada komuniti Simunjan di samping membantu membangunkan potensi besar Simunjan sebagai lokasi yang kini menjadi tumpuan pengunjung.
Dalam perkembangan sama, beliau turut menegaskan isu kejadian tanah runtuh di Kampung Gunung Ngeli masih belum menemui jalan penyelesaian.
Dengan keadaan cuaca kini yang berdepan dengan hujan berterusan, beliau percaya ia akan menyebabkan tanah tepu dan cerun menjadi tidak stabil.
Katanya, walaupun kajian terperinci dan laporan lengkap disediakan, keutamaan kini adalah tindakan segera.
“Jika isu ini dibiarkan, kesannya terhadap penduduk akan menjadi semakin serius.
“Oleh itu, saya memohon agar kerajaan melalui agensi seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) segera turun padang melaksanakan mitigasi segera.
“Ini bukan isu kecil atau terpencil, ini isu keselamatan rakyat yang mesti diutamakan,” katanya.
Awla turut mengusulkan masalah capaian internet di segenap pelusuk kawasan juga perlu diambil perhatian.
Katanya, isu tersebut juga adalah serius memandangkan masih terdapat kawasan yang mengalami masalah rangkaian telekomunikasi sehingga menyebabkan ada di antara mereka sukar untuk membuat panggilan serta mengalami gangguan perkhidmatan yang kini menjadi keperluan asas dalam era digital.



