KUCHING: Ketua jurulatih Tampines Rovers, Mohamad Nazri Nasir menegaskan, kehadiran pasukannya ke Stadium Taha Ariffin, Petra Jaya untuk berdepan Kuching City FC bagi aksi pembukaan Kumpulan A, Kejohanan Kelab Asia Piala Shopee 2026 malam esok bukan sekadar untuk mendapatkan keputusan seri, sebaliknya mahu meraih kemenangan.
Beliau berharap barisan kesebelasan utama yang akan diturunkan untuk perlawanan terbabit dapat menterjemahkan strategi yang diguna pakai dengan sebaik mungkin.
Menurut Nazri, sebagai bekas pemain, memperoleh keputusan positif menjadi keinginan beliau untuk membantu pasukan.
“Seperti mana yang kita tahu, berdepan pasukan Kuching bukanlah sesuatu yang mudah dalam keadaan prestasi skuad kendalian Aidil Sharin Sahak yang kini berada pada tahap kemuncak,” ujar Nazri pada sidang media di Bilik Mesyuarat Stadium Taha Ariffin, Petra Jaya petang tadi.
Tegas Nazri, kelab dari Sarawak itu bermain dengan sangat baik, terutamanya dalam Liga Super beberapa musim lalu.
“Jadi, saya menjangkakan perlawanan malam esok sengit, apatah lagi kami merupakan pasukan pelawat,” tambah Nazri.
Beliau turut mengakui Kuching City dibarisi ramai pemain tempatan dan import yang bagus di semua posisi.
Justeru, kata Nazri, pasukannya perlu bersedia untuk menghadapi perlawanan sebenar malam esok.



