KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) telah menyiapkan projek menaik taraf Tandas Awam Padungan Garden di Jalan Padungan di sini, dalam usaha meningkatkan tahap keselesaan, keselamatan serta kebolehcapaian kemudahan awam di kawasan bersejarah tersebut.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng berkata, kemudahan awam berkenaan yang kali terakhir dinaik taraf pada 1993 memerlukan pembaikan menyeluruh bagi memenuhi piawaian semasa selepas lebih 30 tahun digunakan.
Beliau menjelaskan bahawa skop kerja merangkumi penambahbaikan kemudahan dalaman tandas serta kawasan sekitar termasuk penyediaan tandas mesra Orang Kurang Upaya (OKU), bilik menukar lampin bayi, pencahayaan laluan pejalan kaki, pembinaan wakaf dan kerja-kerja berkaitan yang lain.
“Projek ini dilaksanakan dengan kos pembinaan keseluruhan berjumlah RM174,250 yang bertujuan meningkatkan aspek kebolehcapaian serta kemudahan kepada semua pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis penyerahan projek naik taraf tandas awam tersebut di sini, hari ini.

Wee memberitahu bahawa projek berkenaan memberi penekanan kepada aspek keterangkuman bagi memenuhi keperluan warga emas, golongan OKU dan keluarga yang mempunyai anak kecil, selain penduduk serta pelancong yang berkunjung ke Padungan.
Jelas beliau, Padungan merupakan antara kawasan tertua di Kuching yang terkenal dengan rumah kedai warisan, bangunan bersejarah serta tarikan pelancongan seperti Monumen Kucing Putih, Menara Jam dan mural yang menggambarkan sejarah perdagangan kawasan tersebut.
“Seiring dengan peningkatan jumlah pengunjung dan pelancong, penyediaan kemudahan awam yang bersih, selamat dan mudah diakses adalah amat penting, khususnya di kawasan awam yang sibuk dan mempunyai nilai warisan,” katanya.
Beliau menambah bahawa projek itu dibiayai di bawah peruntukan BP1 daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), sekali gus mencerminkan kerjasama berterusan antara Kerajaan Persekutuan dan pihak berkuasa tempatan dalam menambah baik infrastruktur awam.
Wee turut menegaskan komitmen MBKS untuk terus menaik taraf kemudahan awam demi meningkatkan kualiti hidup masyarakat serta memelihara nilai sejarah dan kebudayaan kawasan warisan untuk generasi akan datang.


