PEMBENTANGAN belanjawan merupakan pengumuman yang dinantinantikan seluruh rakyat Malaysia setiap tahun.
Namun, adakah segala bantuan yang diumumkan itu memberi manfaat kepada rakyat?
Adakah ia membawa impak seperti yang diharapkan?
Jika ditanya kepada setiap rakyat Malaysia, apa diharapkan dalam pengumuman bajet?
Sudah tentu ada pelbagai jawapan.
Namun, paling popular, tentunya harapan mendapatkan bantuan kewangan sama ada dalam bentuk bonus atau bantuan tunai.
Kenapa?
Ini kerana ia diharap mampu meringankan sedikit beban kos sara hidup yang saban hari semakin meningkat, sekurang-kurangnya bantuan kewangan yang diberikan dapat membantu untuk membeli barangan keperluan.
Selain itu, apa tujuan bajet dibuat?
Pada pandangan saya, ia seharusnya untuk memastikan kualiti hidup rakyat dapat ditingkatkan setiap tahun.
Ia bermaksud rakyat mempunyai keperluan asas baik seperti rumah selesa, kenderaan baik, makanan sihat, mendapat akses pendidikan, kemudahan Internet, bekalan elektrik dan bekalan air serta sedikit perbelanjaan untuk hiburan dan rekreasi.
Ini bertepatan dengan definisi ekonomi itu sendiri diambil daripada perkataan Greek, Oikonomikus bermaksud tugas mengurus isi rumah.
Dengan kata lain, tidak ada gunanya Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat setiap tahun, eksport dan pelaburan asing meningkat, tetapi pendapatan dan kualiti hidup rakyat masih terhimpit dan tertekan.
Sehingga masih ramai yang terpaksa ikat perut dan berjimat-cermat demi untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Bagi meningkatkan kualiti hidup dalam sebuah rumah, saya yakin yang akan menggembirakan rakyat adalah apabila mereka mempunyai lebihan pendapatan untuk dibelanjakan.
Sekurangkurangnya tidak perlu hidup dalam keadaan tertekan dengan sentiasa menghitung hari menanti gaji hujung bulan.
Justeru, belanjawan sepatutnya memberi penekanan lebih terhadap isu keselesaan dan kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat.
Dalam masa yang sama masih meneruskan pemberian bantuan wang tunai, yang bukan hanya untuk golongan B40 tetapi juga M40 kerana sebahagian besar rakyat berada dalam kelompok ini.
Namun harus diingat, semua bantuan kewangan hanya bersifat sementara.
Kerajaan turut perlu membantu rakyat dengan menangani kos sara hidup rakyat iaitu dengan menyediakan harga makanan dan bahan mentah mampu milik, menawarkan peluang pekerjaan, kos perumahan dan perubatan mampu milik.
Kerajaan juga perlu memberikan kebaikan kepada rakyat yang kesannya bersifat jangka panjang.
Contohnya, memperkukuhkan sekuriti makanan negara bagi memastikan ketersediaan, kebolehcapaian dan kemampuan rakyat membeli makanan.
Kita perlu mengambil pengajaran daripada pandemik COVID-19 dan konflik RussiaUkraine, yang mengganggu rantaian bekalan makanan disebabkan kita terlalu bergantung dengan hasil import dan kesannya, inflasi makanan naik secara mendadak.
Selain sekuriti makanan, kerajaan perlu menangani kos sara hidup rakyat yang semakin tinggi.
Walaupun gaji minimum negara kita meningkat, masih ada sebahagian rakyat yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Kenaikan OPR juga menambahkan beban kos sara hidup rakyat, manakala mereka yang menyewa rumah turut terkesan kerana desakan tuan rumah menaikkan kadar sewa rumah berikutan kenaikan OPR yang mengakibatkan semakin ramai rakyat dihalau keluar tuan rumah.
Selain itu, dalam mana-mana pembentangan bajet, perkara lain harus diberikan keutamaan adalah membuka peluang pekerjaan, terutama kepada anak muda yang sekarang kebanyakannya mendapat pendidikan tinggi.
ntuk itu kerajaan perlu merangka mencari strategi untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi yang syarikat ini akan berupaya membayar gaji tinggi kepada anak muda.



