GEDONG: Reputasi hebat dipamer pasukan Team Komeng Sri Berjaya di Regata Gedong 2025 yang berlangsung di Sungai Gedong petang tadi nyata sukar ditandingi.
Perahu milik Zawawi Keri itu gah mengungguli acara tumpuan perahu bidar 30 pekayuh lelaki (Saringan A), Piala Premier Sarawak (Raja Sungai) dengan jarak 3 kilometer setelah mengatasi 11 pesaing lain.

Sekali gus, gambaran awal jagoan terbilang itu siap sedia mengintai peluang untuk cuba menjulang gelaran berprestij (Raja Sungai Regata Gedong 2025).
Zawawi berharap para pekayuhnya kekal fokus pada perlumbaan akhir yang dijangka sengit dan penuh dramatik kelak.
Sementara itu, empat pesaing lain yang turut menyerlah kewibawaan mereka dalam acara tersebut ialah King Paddlers GT, Landas Azam Kasihnya Warisan 1, Landas Azam Kasihnya Warisan 2 dan MRT Gedong.
Beberapa acara lain turut dilangsung pada hari sama dan menyaksikan kemenangan milik pasukan pilihan.
Acara marathon rentas Gedong akhir – juara milik Bujang Sigat. Manakala, Team Komeng Sri Berjaya dan King Paddelers GT masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.
Acara perahu bidar 10 pekayuh lelaki (Saringan A) pula dimenangi Team Komeng Sri Berjaya.
Tempat kedua dan ketiga milik pasukan Batak Lampong Gedong dan Team Komeng.
Tempat pertama acara perahu bidar 25 pekayuh lelaki (Saringan A), Piala Dato’ Sri Haji Mohd. Naroden Majais menjadi milik Team Komeng Sri Berjaya.
Tempat kedua dan ketiga milik Mahkota Dewa Gedong dan Cahaya Arus Ibnur Sinar.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan Pegawai Daerah Gedong, Haji Tamida Da’adi.
Saingan disambung hari esok dengan sepuluh perlumbaan dilangsung bermula pagi hingga ke petang.



