KUCHING: Team N.7 membuktikan kehebatan mereka apabila berjaya menjuarai Kejohanan Tenis Perpaduan P.194 2026, Piala Datuk Amar Haji Fadillah Haji Yusof yang berlangsung selama tiga hari dari 30 Oktober hingga 1 November lalu di Kompleks Tenis PTBS, Kuching.
Kejohanan anjuran Persatuan Tenis Bumiputera Sarawak (PTBS) itu menghimpunkan enam pasukan dengan objektif menggalakkan kecemerlangan sukan, semangat berpasukan dan perpaduan menerusi sukan tenis.
PTBS B pula muncul naib juara, manakala Pasukan N.6 menduduki tempat ketiga, N.8 tempat keempat, PTBS A tempat kelima dan P.194 tempat keenam.
Team N.7 dalam kejohanan itu turut dibarisi pemain termasuk Lionel Entingie Panting, Mohd Hafiz Jamahari, Badarudin Ramli, Suffian Jaafar, Raffy Paun dan Haji Zainoren Alek.
UDA Property bertindak sebagai rakan strategik dengan sokongan Pusat Khidmat P.194 Petra Jaya.
UDA Property secara aktif menyokong aktiviti tenis PTBS, sekali gus mencerminkan kerjasama positif dan berterusan bagi memperluas penyertaan dalam sukan tenis dalam kalangan ahli PTBS, masyarakat umum dan terutama pemain remaja.
Kerjasama ini menekankan kepentingan sokongan berterusan dalam mencungkil bakat muda serta memperkukuh masa depan sukan tenis di Sarawak.
PTBS merakamkan penghargaan kepada UDA Property, Pusat Khidmat P.194 Petra Jaya, semua pasukan yang mengambil bahagian, pegawai, pengadil serta ahli jawatankuasa penganjur atas sumbangan yang diberikan dalam menjayakan penganjuran kejohanan tersebut.
Menerusi kerjasama berterusan dan penglibatan komuniti, PTBS berhasrat untuk terus membangunkan sukan tenis di Sarawak di samping memupuk semangat kesukanan, persahabatan dan perpaduan menerusi sukan.






