Pementasan teater bangsawan Raja Baya Batang Lassa bukan sekadar mengangkat kisah mitos dan legenda, malah turut menyentuh isu semasa berkaitan hubungan manusia dengan alam sekitar, khususnya konflik antara manusia dengan buaya yang semakin mendapat perhatian masyarakat.
Menurut pengarah dan penulis skripnya, Taksu Zacharia, atau nama sebenarnya Zakaria Manan, pementasan tersebut berjaya menarik minat khalayak untuk terus mengikuti perkembangan seni bangsawan di Sarawak dengan mengetengahkan naratif yang lebih segar dan relevan.
Menurut beliau, seni bangsawan pada masa ini tidak lagi hanya berkisar tentang kisah raja-raja atau mitos semata-mata, sebaliknya turut mengupas persoalan semasa yang dekat dengan kehidupan masyarakat.
“Apabila isu semasa yang relevan dimasukkan ke dalam penceritaan, perkara itu mampu menarik minat penonton. Dalam konteks Raja Baya Batang Lassa, kami mengetengahkan isu hubungan manusia dengan buaya yang sememangnya perlu ditangani dengan penuh rasa tanggungjawab,” katanya kepada Suara Sarawak.
Mengulas sambutan penonton terhadap seni bangsawan, Taksu berkata, perkembangan seni persembahan itu kini menunjukkan perubahan positif berbanding suatu ketika dahulu, apabila minat masyarakat terhadap seni tersebut agak rendah.
Katanya, walaupun kemunculan teknologi digital memberikan cabaran besar kepada seni persembahan tradisional, termasuk bangsawan dan teater secara keseluruhannya, beliau optimis seni tersebut masih mempunyai tempat dalam kalangan masyarakat.
“Persaingan dengan platform digital memang sengit, namun saya melihat bangsawan kini mula berkembang dengan lebih sihat dan mendapat perhatian generasi baharu,” ujarnya.
Menyentuh idea penghasilan Raja Baya Batang Lassa, beliau berkata, inspirasi itu lahir daripada keunikan bumi Sarawak yang kaya dengan kepelbagaian hidupan liar serta cabaran manusia untuk hidup secara harmoni bersama-sama alam.
Menurutnya, konflik antara manusia dengan buaya yang semakin kerap berlaku berpunca daripada habitat haiwan berkenaan yang semakin terancam akibat pembangunan.
“Persoalan tentang bagaimana manusia dan alam boleh hidup bersama-sama perlu ditangani secara bijaksana. Itulah yang cuba kami sampaikan menerusi pementasan ini,” katanya.
Beliau menjelaskan mesej utama teater tersebut adalah untuk mengingatkan masyarakat bahawa manusia, sebagai pemimpin di bumi, perlu mentadbir alam dengan penuh kebijaksanaan serta menghormati hukum alam demi kelangsungan semua hidupan.
Dalam pada itu, Taksu mengakui antara cabaran terbesar sepanjang proses penerbitan teater tersebut adalah untuk menggabungkan pengalaman pelakon senior seperti Ebby Saiful dengan semangat dan tenaga bakat baharu yang meminati seni bangsawan.
Katanya, bangsawan dipilih sebagai medium penceritaan kerana seni persembahan itu lengkap, selain menggabungkan elemen lakonan, tarian, muzik, sinografi serta pengurusan produksi yang melibatkan ramai penggiat seni.
Beliau berharap penonton bukan sahaja menikmati jalan cerita Raja Baya Batang Lassa, malah menghargai keindahan seni bangsawan sebagai medium hiburan yang mampu memberikan ketenangan dan pelarian sementara daripada tekanan kehidupan masa kini.
Pementasan teater bangsawan Raja Baya Batang Lassa berlangsung dari 4 hingga 6 Jun lalu, bermula pada jam 8.15 malam di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak.
Teater terbitan Kerabat Budak Bangsawan itu menampilkan barisan pelakon berpengalaman dan bakat baharu, termasuk Syafaat Zainal Abdidin sebagai Raja Baya, Ebby Saiful sebagai Raja Zainal Indera Mahkota, Herliza Yaman, Sofea Yusof, Hamirul Ridzwan, Ramdi Bujang, Marais Adeni, Elmira, Putra Ariff serta ramai lagi.
Produksi teater tersebut diterajui oleh Taksu Zacharia bersama-sama pasukan kreatif dan teknikal yang berpengalaman.



