Tegas seperti mengajar di sekolah

PROSES Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) merupakan cabaran besar yang harus didepani dengan bijaksana serta penuh rasa tanggungjawab. Bijaksana dalam konteks bagaimana PdPR dapat dijalankan dengan berkesan. Guru tidak syok sendiri, begitu juga anak didik… jangan pula ibu bapa yang menyiapkan tugasan sekolah anak masing-masing di rumah.
Tanggungjawab dalam konteks, jangan asalkan ada (PdPR). Dalam erti kata lain, PdPR dijalankan boleh diibarat semata-mata melepas batuk di tangga, asalkan ada! Inilah yang dikatakan tidak bertanggungjawab sehingga keberhasilan PdPR langsung tidak diendahkan.
Justeru dengan bermulanya sesi persekolahan 2021, aspek keberhasilan dan keberkesanan PdPR harus menjadi fokus utama. Betul, sememangnga tidak dinafikan banyak perkara yang diragui. Namun, inilah yang terpaksa atau mahu tidak mahu, kita depani bersama-sama ekoran pandemik Covid-19.
Zaman bertukar, era berganti, dunia pendidikan tidak pernah dihambat oleh sesuatu yang ‘kejam’ seumpama hari ini. Lazimnya, hari pertama sesi persekolahan penuh dengan pelbagai kisah. Paling manis, hadir ke sekolah dengan seragam baharu, ada bau Cina lagi. Duduk bersama-sama rakan dalam kelas, ada guru di hadapan bilik darjah sesekali riuh-rendah.

Tetapi hari ini, kesemuanya hilang. Penulis tersentuh apabila ada seorang sahabat, yakni bergelar guru menulis isi hatinya di ruang status WhatsApp. “Rindu masa sebelum Covid-19. Rutin setiap awal tahun diisi dengan sesi orientasi dengan kanak-kanak. Macam-macam aksi mereka, ada yang menangis, ada yang malu-malu kucing, ada yang aktif, gembira, ada yang kaku di depan pintu hendak pulang. Mereka dapat dipeluk dan dicium, dapat diajak melakukan pelbagai aktiviti bersama-sama rakan lain. Rindu bergaul dengan kanak-kanak. Namun, kini…”
Senario telah berubah 360 darjah dan realiti sebenar adalah apa yang kita alami hari ini, belajar dari rumah. Atas faktor peningkatan kes Covid-19, inilah langkah yang dirasakan terbaik oleh kerajaan biarpun ada yang menganggap PdPR tidak cocok dengan sesetengah pihak.
Apa yang penting setelah tirai disingkap, semua kita perlu memainkan peranan masing-masing. Pertama anak-anak itu sendiri, mereka harus sedar bahawa sesi persekolahan sudah dibuka dan cuti telah habis. Bangun awal, mandi dan persiapkan diri seperti biasa.
Jangan lupa biarpun di rumah, kita sebenarnya bersekolah, jangan ponteng… untuk mendapatkan ilmu yang menjadi persediaan hari esok. Walau apa jua kaedah yang ditetapkan oleh guru, belajar mengadaptasinya dengan cepat.

Ini era baharu, belajar pun menggunakan teknologi canggih. Dalam masa yang sama, kemudiankan PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG) atau Mobile Legends (ML)… ada masa lapang baru layan.
Kedua ibu bapa, tanggungjawab menyediakan kemudahan PdPR dengan sebaiknya mengikut kemampuan masing-masing. Semasa waktu PdPR yang ditetapkan, bertegaslah terhadap anak-anak agar masa itu dimanfaatkan sepenuhnya… tanggungjawab kita juga membimbing mereka kerana di rumah, ibu bapalah rujukan terdekat.
Ambillah masa ini juga untuk menyuntik semangat dan memberikan sokongan moral agar anak-anak terus terinspirasi.
Ketiga, pendidik yang menjadi tonggak utama dalam proses PdPR harus peka dengan keperluan setiap anak didik. Mungkin kita mahu setiap masa menjalankan PdPR secara dalam talian, tetapi dalam masa yang sama fikirkan juga jika ada yang tidak berupaya mengikutinya… maka, gunakan alternatif lain.
Bertegas seperti kita mengajar di dalam bilik darjah. Penulis percaya, mereka (guru) mempunyai pendekatan masing-masing untuk memastikan PdPR berhasil dan berkesan.
Mereka bukan sahaja berilmu, tetapi memiliki banyak pengalaman. Bergelar guru, pasti mereka mahukan yang terbaik untuk pelajarnya.
Selamat meneruskan sesi persekolahan kepada semua… “terbang Kenyalang terbang, terbang tinggi”.