Tegas tegur penumpang

KUCHING: Tragedi feri Triso yang berlaku pada hari pertama tahun ini menggemparkan seluruh negara apabila mengorbankan sembilan mangsa sekali gus dengan paling muda berusia empat bulan.
Kejadian menyayat hati itu menyebabkan banyak pihak berdebat terutamanya di media sosial mengenai prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan yang diamal penumpang semasa berada di atas feri.
Notis yang kerap kali kita lihat dilekat pada tiang serta dinding feri adalah semua kereta/ motosikal/ penumpang tidak dibenarkan untuk berada di atas pintu feri semasa feri bergerak.
Selain itu penumpang adalah dinasihatkan supaya keluar dari kenderaan apabila hendak masuk atau meninggalkan feri. Peraturan ini adalah untuk keselamatan sendiri apabila kenderaan itu sudah berada di dalam feri, pemandu hendaklah memastikan bahawa brek tangan kenderaan telah ditarik dengan kuat.
Malah merokok di atas feri juga tidak dibenarkan, tetapi sejauh manakah peraturan dan notis ini dipatuhi dan diamalkan para penumpang feri walaupun notis itu dipaparkan dalam tiga bahasa iaitu bahasa Malaysia, bahasa Inggeris dan bahasa Mandarin.
Suara Sarawak menemu bual pengguna yang kerap menggunakan feri untuk mendapatkan pendapat dan cadangan mereka.
“Ramai penumpang tidak keluar dari kereta dan mengabaikan notis keselamatan yang dipaparkan di setiap feri walaupun sudah ditegur oleh kakitangan feri. Masyarakat seharusnya lebih peka mengenai perkara ini demi keselamatan masing-masing. Kakitangan perlu lebih tegas semasa menegur penumpang.”  – Boges Dollah
“Seharusnya ada orang menjaga dan sediakan pengawal keselamatan di feri yang memakai uniform agar pengguna mematuhi arahan mereka ketika menaiki mahupun keluar dari laluan masuk feri demi keselamatan semua pihak.” – Wan Ismail Wan Yahya
“Sebelum ada Jambatan Batang Sadong dan Jambatan Samarahan, kami menggunakan bot tambang dan selepas itu ada perkhidmatan feri untuk ke seberang. Sebagai penumpang feri, kita harus memainkan memastikan keselamatan masing-masing dan jangan leka.” – James Bate
“Petugas feri perlu memastikan kenderaan masuk dengan teratur dan elakkan kenderaan berada di tanjak feri jika feri sudah penuh dan bergerak. Selain itu, pihak berwajib perlu mengetatkan peraturan dari sudut keselamatan supaya penumpang lebih berwaspada. Percepatkan pembinaan jambatan di seluruh negeri supaya kejadian tragedi feri hanya tinggal sejarah.” – Salbiah Abdullah

Suara Sarawak