KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang, See Chee How memilih untuk tidak mengulas status politiknya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Beliau menjelaskan bahawa statusnya sebagai wakil rakyat bebas kekal sehingga pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
Tegasnya, perbincangan mengenai masa depan politik beliau adalah tidak wajar buat masa ini memandangkan beliau masih mengekalkan hubungan baik dengan semua pihak.
“Saya berkawan dengan semua orang, dan mereka juga berkawan dengan saya. Jadi perkara seperti ini tidak perlu dibangkitkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Bas Sekolah Percuma dan Bilik Darjah Pintar di SJK Chung Hua No. 6, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, See menambah bahawa sebarang keputusan hanya akan diumumkan selepas pembubaran DUN Sarawak menjelang PRN kelak.
“Saya tidak boleh menyentuh berhubung perkara tersebut ketika ini. Jadi, tunggu sehingga pembubaran kelak,” tegasnya lagi.
See mewakili konstituensi Batu Lintang sejak tahun 2011 selepas memenangi kerusi berkenaan atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada PRN Sarawak 2011 dan 2016 dengan majoriti besar, masing-masing sebanyak 13,235 undi dan 10,758 undi.
Beliau kemudian mengekalkan kerusi tersebut pada PRN 2021 di bawah panji Parti Sarawak Bersatu (PSB) dengan memperoleh 4,420 undi dalam persaingan sengit lima penjuru.
Antara Ogos 2018 hingga Februari 2020, See berkhidmat secara sukarela sebagai pegawai khas mewakili Menteri Kerja Raya ketika itu, Baru Bian di Sarawak. Beliau dipecat daripada PKR pada April 2020 dan menyertai PSB pada Mei tahun sama, sebelum bertindak meninggalkan parti berkenaan pada Ogos 2022.



