ORANG ramai tidak perlu bimbang dengan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) kerana ia tidak akan mengambil alih peranan manusia dalam sektor pekerjaan di negara ini.
Sebaliknya ia akan mewujudkan lebih banyak pekerjaan baharu yang memerlukan kemahiran teknologi tinggi dan terkini.
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) tidak melihat teknologi seperti AI akan mengambil alih atau menggantikan manusia dari segi pekerjaan, tetapi pekerjaan yang akan datang atau masa depan perlukan set kemahiran baharu, maka kita perlu ada kapasiti latihan yang baharu.
Sistem AI ini telah berkembang pesat, mengubah pelbagai industri dan membentuk semula cara hidup dan bekerja manusia.
Malah, setiap syarikat berkenaan berlumba-lumba untuk menjadi yang pertama dan yang terbaik dalam menampilkan idea dan sistem masing-masing.
Sebagai contoh, Meta Platforms menerusi sumber tertentu baru-baru ini menyasarkan untuk mengeluarkan model AI baharu yang lebih hebat daripada versi komersial yang digelar Llama 2.
Sistem tersebut bakal membantu syarikat berkaitan dengan menawarkan perkhidmatan penghasilan teks, analisis dan keluaran lain yang lebih canggih.
Tidak dinafikan AI membawa banyak kepentingan dan peluang, tetapi ia juga menimbulkan potensi ancaman kepada manusia, khususnya dalam bidang pekerjaan.
Melihat kepada kemajuan AI, ia sememangnya memberi kesan terhadap pasaran buruh dan menjadi cabaran kepada masyarakat pada dunia yang serba canggih ini.
Bagaimana ia memberi kesan kepada sektor pekerjaan?
Pertama, AI mampu bekerja secara sendiri dengan menetapkan kawalan yang dimahukan.
Justeru, menjadi kebimbangan utama apabila AI menjadi pilihan majikan dalam sesebuah syarikat kerana ia mampu bekerja secara automatik, menggantikan tenaga kerja manusia.
Mesin dan algoritma berkuasa AI boleh melaksanakan tugas rutin dan berulang dengan kecekapan dan ketepatan yang lebih tinggi, sekali gus membawa kepada peningkatan hasil.
Selain, majikan dapat mengurangkan jumlah kakitangan dan kos pengeluaran dari segi gaji pekerja apabila menggunakan teknologi terkini.
Perkara ini dilihat mampu menjejaskan pekerjaan khususnya dalam sektor pembuatan, perkhidmatan pelanggan, pengangkutan dan analisis data.
Memandangkan AI terus berkembang, ia berpotensi membawa ancaman kepada pekerjaan yang lebih kompleks dan khusus, yang juga boleh menjejaskan rangkaian industri yang lebih luas.
Walaupun AI boleh menyebabkan kehilangan pekerjaan dalam sektor tertentu, ia juga berpotensi untuk mencipta peluang pekerjaan baharu.
Apabila teknologi semakin maju, peranan baharu akan muncul yang memerlukan kepakaran dalam membangun, mengurus dan menyelenggara sistem AI.
Tetapi, peranan ini memerlukan seseorang yang memiliki kemahiran khusus, yang mungkin menyebabkan sebahagian besar tenaga kerja tidak bersedia untuk perubahan landskap pekerjaan.
Peralihan dalam corak pekerjaan ini boleh memburukkan lagi ketidaksamaan pendapatan dan mengakibatkan jurang ekonomi dalam kalangan masyarakat.
Justeru, pendekatan yang lebih menjanjikan perlu diteroka supaya manusia dan AI boleh bekerjasama dengan berkesan.
AI boleh menambah keupayaan manusia, meningkatkan produktiviti dan inovasi.
Dengan memanfaatkan alatan AI, manusia boleh menumpukan pada tugas peringkat lebih tinggi yang memerlukan kreativiti, pemikiran kritis dan kecerdasan emosi.
AI bertindak sebagai satu pelengkap kepada tenaga kerja manusia, bukan pengganti sepenuhnya.
Dengan ini, ia tidak akan menjejaskan kehidupan tenaga buruh.



