SARAWAK bukan hanya kaya dengan sumber asli dan biodiversiti, tetapi juga memiliki tanah subur yang mampu menjamin kelangsungan makanan rakyatnya.
Namun, sehingga kini, kita masih bergantung kepada beras dari luar untuk mengisi pinggan di dapur sendiri.
Dalam era ketidaktentuan global dan ancaman krisis makanan, sudah tiba masanya untuk memperkasakan tanaman padi sebagai tunjang kepada keselamatan makanan dan kemandirian negeri.
Malah, komitmen untuk mencapai keterjaminan makanan (sekuriti makanan) yang kukuh merupakan sebahagian daripada inisiatif pembangunan pertanian dan ekonomi yang lebih meluas di Sarawak.
Ia juga selaras dengan aspirasi Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang menggesa agar negeri ini bukan sahaja mampu memenuhi keperluan makanan penduduknya, tetapi juga berperanan sebagai pengeksport makanan ke peringkat global.
Dalam usaha menjamin keterjaminan makanan di Sarawak, sistem pengairan titisan kini dilihat sebagai satu teknologi penting dan berpotensi besar untuk menyokong penanaman padi secara lebih efi sien dan mampan
. Teknologi ini bukan sahaja menyumbang kepada pengurangan penggunaan air dan input pertanian, malah mampu meningkatkan hasil tanaman dengan cara yang lebih terkawal dan mesra alam.
Justeru, teknologi pengairan titisan dalam penanaman padi merupakan pendekatan inovatif yang mula diteroka secara aktif oleh Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS).
Menurut Ketua Pegawai Akademik CENTEXS, Akademi Aeroangkasa Digital dan Tenaga Hijau, Dr. Dayang Hanani Abang Ibrahim, sistem pengairan titisan bukan teknologi baharu di peringkat global.
Tambah beliau, negara seperti India, Turkiye dan Itali telah menggunakannya dengan jayanya, membuktikan keberkesanannya dalam meningkatkan hasil tanaman padi, mengurangkan penggunaan air serta mengawal pelepasan gas rumah hijau seperti metana.
“Berinspirasikan kejayaan tersebut, CENTEXS telah mengambil pendekatan proaktif untuk memahami dan mengkaji keperluan industri penanaman padi melalui satu test bed (tapak ujian) untuk mengadaptasi teknologi pengairan titisan (drip irrigation) dalam penanaman padi sejak akhir 2023, merupakan yang pertama di Malaysia.
“Teknologi ini dilihat sebagai penyelesaian mampan kepada cabaran pengairan konvensional terutamanya di kawasan luar bandar dan tanah tinggi yang tidak mempunyai sistem saliran yang efi sien,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak di pejabatnya CENTEXS Santubong baru-baru ini.
Tambah beliau, pelaksanaan tapak ujian ini juga merupakan lanjutan atau kesinambungan daripada kejayaan pelaksanaan pertanian pintar Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan CENTEXS pada tanaman cili dan tomato ceri, yang menyediakan platform pertanian menyeluruh dengan kemudahan pertanian berteknologi tinggi yang bersepadu sepenuhnya menggunakan sistem pengairan titisan” “Projek rintis ini menggunakan satu ekar tanah dan menggabungkan teknologi moden termasuk tangki air, penapis, injap automatik, sensor kelembapan, serta sistem Internet Benda (IoT) dan kecerdasan buatan (AI) untuk mengawal penyiraman secara automatik dan efi sien,” ujarnya.
Keistimewaan sistem ini ujarnya, adalah keupayaannya menyalurkan air dan nutrien secara terkawal terus ke zon akar tumbuhan, seterusnya meningkatkan keberkesanan serapan nutrien dan mengurangkan pembaziran.
“Sistem ini juga menjimatkan tenaga kerja, membolehkan kawalan dan pemantauan dilakukan dari jarak jauh melalui teknologi pintar.
“Hasilnya, penanaman menjadi lebih efi sien, bersih dan mesra alam. CENTEXS menganggarkan peningkatan hasil padi sehingga 30 peratus melalui kaedah ini, dengan sasaran pengeluaran mencapai 10 tan sehektar, masih dalam kajian.
“Walaupun kos permulaan bagi sistem asas mencecah RM20,000 sehektar (tidak termasuk penyediaan tanah contohnya meratakan tanah, membentuk struktur tanah yang sesuai, membajak) untuk sistem lengkap dengan teknologi canggih, impak jangka panjangnya sangat besar terhadap sekuriti makanan negara, jelasnya lagi.
Dalam pada itu, Dr, Hanani berkata, CENTEXS juga aktif menjalankan latihan khusus kepada komuniti dan belia tempatan, melalui program latihan bersijil dalam penanaman padi menggunakan teknologi pengairan titisan. Malah, CENTEXS juga sentiasa mempunyai kolaborasi dan hubungan dua hala dengan Jabatan Pertanian.
Program ini adalah Penanaman Padi Menggunakan Sistem Titisan (Certifi cate of Paddy Plantation Using Drip Irrigation), terbuka kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan minimum tiga kredit. Program ini merangkumi keseluruhan proses daripada konteks penanaman padi, pemasangan sistem titisan, pertanian pintar dan pemantauan data.
Gabungan pengetahuan teknikal dan praktikal ini membolehkan pelatih menjadi tenaga kerja mahir dalam bidang pertanian pintar, sejajar dengan inisiatif Kerajaan Sarawak ke arah ekonomi digital dan pertanian berasaskan teknologi tinggi.
Ia merangkumi modul seperti pemakanan tanaman, kawalan perosak, teknologi IoT dalam pertanian serta pemasaran hasil.
Melalui projek ini, ujarnya, CENTEXS bukan sekadar mahu membuktikan bahawa padi boleh ditanam menggunakan teknologi titisan, tetapi juga memperlihatkan satu model baharu pertanian yang lebih mampan, pintar, dan responsif terhadap cabaran masa depan.
Pendekatan ini boleh diperluas ke kawasan penanaman padi di luar bandar, khususnya kawasan tanah tinggi atau yang tidak mempunyai sistem saliran sawah konvensional atau tidak mempunyai sistem pengairan air yang baik.
“Sambutan awal yang diterima daripada komuniti dan pihak industri di Sibu, Mukah dan Kapit juga amat menggalakkan, dan perancangan pengkomersialan kini sedang berjalan.
“Dalam fasa kedua ini, penggunaan jentera telah diterapkan dalam keseluruhan rantaian pengeluaran padi, bermula daripada penyediaan tanah, aktiviti penanaman, proses penuaian, pemprosesan hasil, pemasaran dan pengedaran, hinggalah sampai kepada pengguna. “
Kami di sini juga mengintegrasikan sistem ini dengan tenaga solar dan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk automasi penuh serta analitik ramalan hasil.
Data daripada test bed ini akan dimanfaatkan untuk membina model agronomi berasaskan data sebenar dari lapangan,” jelasnya.
Justeru, beliau berkata, transformasi pertanian bukan sekadar tentang penggunaan teknologi, tetapi bagaimana kita menyelaras inovasi dengan keperluan komuniti tempatan, alam sekitar dan kecekapan ekonomi.
Projek perintis padi titisan di CENTEXS Kuching hanyalah permulaan, ke arah perubahan besar dalam landskap pertanian negara.
Teknologi pengairan titisan ini membuktikan bahawa dengan pendekatan yang tepat, pertanian moden boleh berkembang seiring dengan kemajuan teknologi dan kelestarian alam sekitar.
Sementara itu, rakan strategik CENTEXS di bawah syarikat Smart Modern Agriculture Sdn Bhd (SMASB), Sean Liak berkata, projek pertanian di Sarawak ini memberi penekanan utama kepada pembangunan teknologi penanaman padi di kawasan tanah rendah.
“Dengan cabaran seperti taburan air yang tidak menentu dan jenis tanah berasaskan paya laut, sistem berteknologi tinggi telah dibangunkan untuk mengurus air dan tanah secara lebih cekap
. “Ini termasuk penggunaan automasi dan sensor pintar yang membolehkan pengawalan kelembapan serta nutrien yang lebih tepat.
Matlamatnya adalah untuk meningkatkan hasil padi secara mampan, walaupun dalam keadaan geografi dan iklim yang mencabar,” ujarnya di ladangnya baru-baru ini.
Di samping itu, jelasnya, penggunaan jentera pertanian memainkan peranan penting menjadikan penanaman padi lebih efi sien dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja. Projek ini menunjukkan bahawa tanpa penggunaan mesin, sukar untuk mencapai impak ekonomi yang ketara.
Oleh itu, inisiatif ini bukan sahaja menyasarkan penghasilan padi secara besarbesaran, tetapi juga melatih komuniti luar bandar agar lebih mahir dalam penggunaan teknologi pertanian moden.

“Kawasan tapak ujian di CENTEXS ini dibahagikan kepada beberapa komponen, termasuk rumah hijau dan plot terbuka.
“Projek ini turut menekankan pendekatan lestari melalui sistem pertanian berasaskan data, penggunaan sistem pengairan titisan, serta pengawalan automatik bagi suhu dan kelembapan.
“Semua data ladang direkod dan dianalisis untuk memperbaiki keberkesanan pengurusan hasil tani dari semasa ke semasa,” ujarnya.
Walaupun padi menjadi fokus utama, beliau memberitahu projek ini juga menguji potensi tanaman bernilai tinggi seperti tomato ceri, cili dan lada.
“Tanaman-tanaman ini ditanam menggunakan kaedah tanpa tanah (soilless) dengan medium seperti kokopit yang membantu mengekalkan kelembapan dan mengurangkan pembaziran air serta baja.
“Tomato ceri, sebagai contoh, berjaya menghasilkan sehingga 1,000 kilogram seminggu dengan hanya beberapa orang pekerja,” katanya.
Bagaimanapun, ujarnya, salah satu cabaran utama dalam penanaman padi, khususnya di kawasan bukit atau tanah yang tidak mempunyai sistem sawah kekal adalah bekalan air yang terhad. Justeru, sistem pengairan titisan hadir sebagai penyelesaian yang inovatif dan lestari
. Berbeza dengan kaedah konvensional yang memerlukan sawah ditenggelami air, teknologi ini menggunakan sistem drip belt, iaitu tali paip khas yang dilengkapi muncung kecil (nozzle) yang menyalurkan air secara perlahan-lahan ke pangkal pokok.
Setiap muncung hanya mengalirkan air sebanyak dua liter sejam, memberikan masa yang mencukupi untuk tanah dan tanaman menyerap air dan nutrien secara optimum.
Penjimatan air yang tinggi serta pengurangan pembaziran baja menjadikan sistem ini sangat efi sien.
Di ladang ini, barisan drip belt dipasang dengan jarak 60 sentimeter, bersesuaian dengan susunan dua baris tanaman padi yang ditanam bersebelahan. Air yang menitis di antara dua pokok akan diserap oleh kedua-duanya, menjadikan penggunaan air lebih cekap.
Projek ini turut menguji pelbagai jenis benih padi, termasuk varieti daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI)-MR297, China dan Jabatan Pertanian Sarawak (DOA). Kesemuanya merupakan jenis hibrid yang menghasilkan padi beraroma wangi, memberikan nilai pasaran yang lebih tinggi berbanding padi biasa.
Jika padi biasa dijual pada harga sekitar RM1 sekilogram, padi premium boleh mencecah lebih RM2 sekilogram, sekali gus meningkatkan keuntungan petani.
Projek ini juga dilengkapi sensor pintar yang memantau keadaan tanah secara berterusan, termasuk bacaan pH, kelembapan dan electroconductivity (EC).
Ini membolehkan pengurusan nutrien dilakukan secara lebih tepat (precision feeding).
Bacaan pH yang dicatatkan di kawasan ini sekitar 5.8 iaitu julat yang sesuai untuk pertumbuhan padi.
Sekiranya pH meningkat kepada 7, proses pengapuran perlu dijalankan untuk mengimbangi semula tahap keasidan tanah.
EC pula penting untuk mengukur kepekatan baja dalam air, bagi mengelakkan tanah menjadi terlalu “masin” yang boleh merosakkan tanaman
. Drip belt yang digunakan dalam sistem ini diimport dari Belanda.
Untuk satu ekar tanah, sekurang-kurangnya 12 baris drip belt diperlukan, dengan setiap baris sepanjang 1,000 meter. Keistimewaan sistem ini ialah ia boleh dikitar semula.
Selepas musim penanaman berakhir, tali paip boleh ditarik keluar, dibersihkan dan disimpan semula untuk kegunaan seterusnya.
Selain penjimatan sumber, sistem ini juga memberi manfaat dari segi penjagaan alam sekitar.


Penanaman padi secara tenggelam berisiko menghasilkan gas metana, yang menyumbang kepada pencemaran dan pemanasan global.
Dengan teknologi titisan ini, penghasilan gas berbahaya dapat dikurangkan, sejajar dengan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang semakin diberi penekanan dalam sektor pertanian moden.
Padi MR297 yang ditanam ini mula tumbuh dalam tempoh 65 hingga 75 hari dan matang sepenuhnya dalam masa kirakira 115 hari. Secara teorinya, padi boleh ditanam sehingga tiga kali setahun.
Namun begitu, selepas setiap musim menuai, tanah perlu direhatkan sekurangkurangnya selama sebulan bagi mengelakkan masalah seperti penyakit akar dan serangan perosak.
Proses pemulihan tanah termasuk menjemur tanah di bawah cahaya matahari, membuang sisa akar dan tumbuhan, serta menyembur racun serangga dan baja tambahan sebelum musim baharu dimulakan.
Baja urea digunakan sebagai baja asas sebelum benih disemai. Selepas percambahan, anak benih dipindahkan dan dibiarkan membesar sehingga matang dan sedia untuk dituai.
Kesimpulannya, Teknologi Pengairan Titisan Padi MR297 yang dilaksanakan di CENTEXS Santubong membuktikan bahawa inovasi dan teknologi moden boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan hasil pertanian, menjimatkan sumber semula jadi, serta memelihara alam sekitar.
Ia bukan sekadar projek pertanian, tetapi merupakan model rujukan masa hadapan dalam pertanian pintar dan lestari.
Bagi para petani yang ingin meningkatkan hasil tanpa menjejaskan kelestarian alam sekitar, inilah contoh terbaik bagaimana teknologi boleh menjadi rakan strategik utama dalam bidang pertanian negara.
Dalam pada itu, pojek ini juga selaras dengan visi Premier Sarawak untuk memodenkan sektor pertanian melalui Pelan Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030.
Dengan teknologi sebagai tunjang utama, projek ini bukan sahaja meningkatkan hasil pertanian tetapi juga membuka peluang latihan kemahiran kepada golongan muda.
Sarawak kini bergerak ke arah menjadi peneraju sektor agroteknologi dengan sasaran pasaran tempatan dan antarabangsa seperti Singapura.
Penggunaan jentera telah diterapkan dalam keseluruhan rantaian pengeluaran padi, bermula daripada penyediaan tanah, aktiviti penanaman, proses penuaian, pemprosesan hasil, pemasaran dan pengedaran, hinggalah sampai kepada pengguna.



