MENANG hanya 19 daripada 108 kerusi yang ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri membabitkan enam negeri pada Sabtu lalu cukup memeritkan bagi UMNO.
Lebih menyakitkan, mereka tewas kali kedua dalam tempoh lapan bulan, setelah kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum 2022, November lalu.
UMNO hanya memiliki 26 kerusi Parlimen, daripada keseluruhan 222 kerusi yang dipertandingkan.
Dan bersama Barisan Nasional, parti itu hanya mempunyai 30 perwakilan di Parlimen.
Selepas berlangsung Pilihan Raya Negeri pada Sabtu lalu, UMNO hanya berkekuatan 101 ahli Dewan Undangan Negeri, dan kini menguasai pentadbiran serta menjadi Menteri Besar di Johor, Pahang, Melaka dan Perak.
Di Perak, parti itu mendapat ihsan Pakatan Harapan kerana kemenangannya hanyalah minoriti.
Manakala di Sabah, kedudukannya adalah sebagai pembangkang susulan krisis yang berlaku antara UMNO Sabah pimpinan Datuk Seri Bung Mokhtar Radin dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah, yang juga Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Bersandarkan keputusan pilihan raya terkini ini, parti yang berusia 77 tahun pada 11 Mei lalu (termasuk didaftar semula pada 13 Februari 1988) perlu melakukan “muhasabah” yang mendalam.
Kepimpinannya perlu menerima dengan jiwa terbuka akan penolakan rakyat, yang diterjemahkan ke atas kertas undi.
Lapan bulan lalu, ketika rakyat menghukum untuk kali kedua (hukuman pertama adalah pada PRU 2018, yang menyaksikan BN dan UMNO tersungkur), parti itu telah melakukan pembersihan secara drastik.
Umpama pembersihan etnik, saingan dalam parti pantas dilabel pengkhianat, disingkir malah dibunuh karisma mereka, meninggalkan parti itu dengan saki baki yang menjadi penyokong setia dan pak turut, untuk mengiyakan semua yang diungkapkan Presiden parti.
Kesannya adalah kepada parti itu sendiri.
Rakyat, malah ahli parti itu sendiri kini memprotes secara senyap, dan akhirnya, mereka meluahkannya ketika pilihan raya.
Bukan rahsia, penolakan calon parti itu sendiri turut melibatkan ahli UMNO sendiri.
Dan situasi ini lebih membarah apabila ia melanggar “battle cry” sebelum ini untuk menolak Anwar Ibrahim dan DAP sesuatu yang menyebabkan ahli parti itu sendiri berasa tertipu.
UMNO pada dua tahun lalu mendakwa memiliki lebih 3 juta ahli, iaitu 10 peratus daripada rakyat negara ini.
Justeru, atas perkiraan matematik yang disalut kesetiaan politik, sudah pasti mereka memiliki kelebihan untuk menguasai banyak sempadan politik.
Tetapi ternyata perkiraan matematik itu salah.
Dan hari ini, nasi sudah menjadi bubur kerana rakyat sudah jelas menolak parti itu, yang sehingga hari ini masih enggan menerima realiti.
Realiti yang menarik juga, apabila kebanyakan pemimpinnya hanya gebang di kedai kopi untuk mengkritik pimpinan dari belakang, takut meluah secara terbuka kerana risiko ditendang dan dipijak seperti sampah, seperti pemimpin UMNO lain sebelum ini.
Parti bersejarah negara itu bukan sahaja memerlukan peremajaan, tetapi memerlukan rawatan sel baharu secara total bagi memastikan ia terus relevan pada masa depan.
Ia tidak lagi boleh bersandarkan kepada sejarah, mahupun keputusan pilihan raya yang lalu.
Wajah lama perlu segera berundur bagi membolehkan generasi baharu dengan idealisme baharu mengambil tempat.
Politik generasi baharu bukan seperti politik lama, yang berlandaskan wang dan kuasa.
Tetapi politik baharu ini adalah bersifat real-time, dengan apa-apa sahaja tindakan perbuatan ahli politik dapat dihidu, dikesan dan dihadam oleh rakyat dengan pantas.
Justeru, jika parti itu mahu kekal “survive”, ia perlu melakukan koreksi dan lakukan perubahan secara radikal elemen yang dilakukan oleh parti DAP dan PAS sebelum ini, sebelum mereka muncul sebagai antara parti terkuat ketika ini.
Namun, adakah parti itu sanggup melakukan tindakan sekeras itu?
Sejarah tragis yang menimpa UMNO ini sebenarnya berlaku kerana ia terbuai oleh sejarah keemasan sejak 62 tahun sebelum itu.
Keseronokan memegang dan menumpang kuasa menjadikan parti itu sukar untuk berubah, tanpa bersedia untuk menampan serangan dari dalam dan sekeliling.
UMNO memerintah cemerlang secara total sejak 1956, sebelum dikuburkan oleh Pakatan Harapan pada 2018. Seharusnya ia menjadi pengajaran kepada kita.
Malah di Sarawak ketika ini, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan parti “frontlinernya”, Parti PBB perlu mengambil iktibar kepada apa yang berlaku kepada UMNO kerana pemikiran dan hasrat generasi muda pada masa depan tidak dapat diramal.
Kekuatan parti harus diperkukuh dengan membuka pintu kepada ahli untuk bersuara dari lembah. Jika ada pandangan dan kritikan… raikan.
Jika ada ruang untuk wakil rakyat berjumpa pemimpin atasan… jangan disekat dan harus dibuka selebarnya, agar barah yang menimpa UMNO (bermula dengan cakap dan kritikan di belakang pintu) tidak merebak.
GPS dan PBB harus memastikan kesilapan UMNO tidak berulang ke dalam parti utama Sarawak itu.
Antaranya memastikan tidak wujudnya elemen “warlord” mahupun kumpulan pakatan, serta memastikan ahli sentiasa dimaklumkan secara telus akan apa jua keputusan parti.
Paling penting sebenarnya, adalah untuk memastikan rantaian komunikasi kepada pemimpin bawahan, ahli dan rakyat tidak terputus.
Dan mengambil iktibar daripada era emas UMNO, pastikan rakyat turut menerima habuan kek ekonomi, dan bukan sekadar dinikmati kelompok tertentu sahaja.
Terlalu sakit sebenarnya apabila berhadapan dengan penolakan rakyat.
Kerana untuk bangkit mengambil masa yang lama. UMNO tidak akan pulih sekelip mata.
Malah mungkin akan berada dalam ruang yang sukar untuk sekurang-kurangnya dua penggal lagi, kecuali persekitaran politik negara berubah, seperti yang berlaku pada tahun lalu.
Kerana itu, penting untuk kita mengekalkan era emas yang dinikmati kini, terutama di Sarawak.
Komunikasi dan keterbukaan adalah sesuatu yang perlu diperingatkan dari masa ke masa, kerana ia akan memastikan rakyat sentiasa berada di belakang dan memberi sokongan.
Selain tidak leka dan lalai dengan pujian.

• Rudi Affendi Khalik merupakan penulis, wartawan dan penerbit di syarikat penerbitan tv dan kandungan media di Sarawak.






