ARTIKEL

Tempahan baju raya meningkat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MENJELANG Hari Raya Aidilfitri, persiapan baju raya menjadi keutamaan agar sedondon dengan ahli keluarga.

Justeru, permintaan untuk perkhidmatan menjahit meningkat sebagai penyeri Hari Raya pertama.

Tukang jahit, Zaleha Morshidi, 59, berkata dia terpaksa mengehadkan tempahan baju kerana risau tidak mampu menyiapkan tempahan sebelum Syawal.

“Jika diikutkan masih ramai yang mahu menempah baju raya, tapi saya tidak sanggup menyiapkan kesemuanya sehingga saya terpaksa berhenti menerima tempahan daripada pelanggan,” katanya kepada Suara Sarawak.

Melakukan perkhidmatan menjahit di rumah, Zaleha atau lebih dikenali sebagai Leha sentiasa menerima hantaran kain untuk dijahit walaupun bukan musim perayaan.

Minat mendalam mendorongnya melakukan perkhidmatan menjahit ini semenjak berpindah ke kediamannya di Matang sekitar 20 tahun lalu.

“Saya memulakan perkhidmatan menjahit kepada ahli keluarga dan mereka memperkenalkan perkhidmatan saya kepada orang lain sehinggalah saya mendapat ramai pelanggan,” ujarnya.

Disebabkan ramai yang mula menghantar kain untuk dijahit sebelum Ramadan, Leha terpaksa mengutamakan tempahan baju raya dahulu berbanding baju lain.

“Saya sentiasa menerima kain dan baju yang dihantar untuk dijahit, tetapi kebanyakannya hanya perlu ubah suai semula saiz baju yang dibeli.

“Untuk baju raya, saya perlu membuat baju kurung dan baju Melayu, jadi saya lebih mengutamakan baju raya.

Selebihnya saya mula siapkan selepas siap tempahan raya,” katanya.

SEKTOR EKONOMI DIBUKA SEMULA

Menurutnya, pengalaman terburuk sepanjang menjadi tukang jahit adalah semasa awal pandemik Covid-19.

Ujarnya, hanya beberapa pelanggan sahaja yang menggunakan perkhidmatan menjahit ketika itu.

Oleh itu, Leha terpaksa membuat kerja sampingan dengan menerima tempahan membuat ketupat untuk Hari Raya semasa pandemik.

“Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya kurang menjahit, saya mula menerima tempahan membuat kek dan ketupat untuk Hari Raya.

“Tetapi memandangkan sektor ekonomi dibuka kembali, saya mula fokus kepada perkhidmatan menjahit baju raya,” ujarnya.

Walaupun hanya menjahit di rumah, Leha masih perlu bersaing dengan kedai baju dalam talian selain tukang jahit lain di luar. 

Bagaimanapun, bagi Leha perkhidmatannya tidak terjejas memandangkan masih ramai yang menghantar baju di kedainya walaupun membeli di tempat lain.

“Saya tidak perlu bersaing dengan kedai dalam talian kerana kebanyakan pelanggan saya membeli baju dalam talian dan menghantarnya kepada saya untuk ubah suai saiz baju,” tambahnya.

Leha mengakui dia hanya menjaga kualiti jahitan menggunakan mesin jahit yang berkualiti serta menjaga teknik menjahit agar pelanggan berpuas hati dengan hasil jahitan.

Kepuasaan pelanggan menjadi keutamaan Leha sehingga dia tidak takut perlu bersaing dengan orang lain.

Dia percaya, jika pelanggan suka dengan hasil jahitannya, mereka pasti kembali menggunakan perkhidmatannya.

Di samping itu, harga yang dikenakan juga sangat berpatutan, satu set baju kurung hanya RM60 dan RM75 untuk satu set baju Melayu.

Untuk perkhidmatan ubah suai saiz baju pula bergantung kepada permintaan pelanggan. 

ISI MASA LAPANG

Bagaimanapun, Leha tidak berniat untuk mengembangkan perniagaan menjahitnya. 

Faktor umur menjadi alasan dia tidak ingin membuka kedai menjahit dan lebih memilih menjahit di rumah.

“Bagi saya keadaan sekarang sudah mencukupi untuk saya.

“Saya tidak berniat mahu membuka kedai sendiri kerana semakin banyak cabaran yang perlu dihadapi nanti.

“Saya menjahit hanya untuk mengisi masa lapang di rumah sekali gus menjana pendapatan. Saya tidak perlu berfikir banyak tentang kos, saingan dan pekerja kerana semuanya dilakukan sendiri di rumah,” tegasnya.

Baginya, dia hanya berharap agar sambutan ke atas perkhidmatan menjahit yang dia tawarkan berterusan.

Jika anda berminat ingin menempah baju atau menghantar baju untuk diubah suai saiz, sila hubungi Zaleha di talian 016-874 3601.

BERITA LAIN

Larian pesisir pacu ekonomi setempat

PROGRAM Larian Pesisir (Coastal) Sadong Jaya 2026 yang diadakan baru-baru ini dilihat mempunyai keistimewaan tersendiri. Program itu bukan sahaja menjadi aktiviti riadah yang menggalakkan amalan

Sarawak menanti kehadiran MPL

SEDEKAD bukan tempoh yang singkat, apatah lagi bagi sebuah permainan mudah alih yang berjaya bertahan, berkembang dan membina komuniti peminat merentas generasi. Bagi saya, Mobile

BERITA TERBARU